Mengejar Cinta undang sebak di hati Nomad - Utusan Malaysia

Mengejar Cinta undang sebak di hati Nomad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Nomad, 36, tidak menolak, inspirasi lagu terbaharunya yang berjudul Mengejar Cinta adalah satu dedikasi kerinduan terhadap orang yang telah pergi dalam hidupnya sekali gus mengundang rasa sebak dalam dirinya.

Menurut Nomad, lagu tersebut yang telah menemui peminat pada 16 Februari lalu merupakan sebuah naskhah kerinduan dan kenangan yang telah pergi buat selama-lamanya sama seperti apa yang dilalui oleh kebanyakan orang.

“Bila bercakap tentang kecintaan dan kerinduan, ia boleh dikaitkan dengan pelbagai kisah yang pernah kita dengar.

“Dan liriknya juga menceritakan tentang kecintaannya pada sosok yang telah banyak memartabatkan pejuangan untuk seluruh umat-Nya.

“Setelah mengharungi satu perjalan yang amat jauh tanpa mengenal erti penat lelah ditemani air mata kerinduan dan akhirnya dapatlah ia melepaskan kerinduan dengan pelukan yang penuh dengan cinta kepada cinta hatinya,”katanya.

Meskipun apa yang tersirat begitu mendalam, Nomad tidak mahu pendengar menjadikan ia sebagai satu perkara yang memberatkan sebaliknya lirik berkenaan juga boleh diadaptasi dalam kehidupan seharian.

Jelasnya, Mengejar Cinta bukan sebuah karya yang rumit untuk difahami namun ia kaya dengan maksud tersirat yang mempunyai pelbagai pengertian.

Bercerita mengenai pemilihan karya pula, kata Nomad, lagu tersebut dicipta sebelum proses rakaman berlangsung.

Kata Nomad, pada awalnya dia mahu menjadikan lagu ini menjadi sebuah karya fast song namun ia diubah berubah beberapa waktu kemudian.

“Bila saya dengar semula dan hayati semula liriknya, datang satu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Semuanya bersatu. Perasan sedih, gembira dan bahagia bercampur baur dan membuatkan saya mahu memahaminya dengan lebih mendalam.

“Bila masuk proses rakaman, saya ambil masa selama dua jam untuk memahaminya. Padahal ini merupakan lagu ciptaan saya.

“Sebenarnya ada perasaan lain dirasai malam berkenaan. Mujur ada guru vokal yang membantu proses berkenaan,”katanya.

Selain itu, kata Nomad, dia juga mendapat bimbingan vokal daripada J Ratno, Afif Tirmizi dan Rudy Nastia yang bertindak sebagai penggubah muzik dan banyak membantu melicinkan proses rakaman dengan memberikan pelbagai input baharu.

Kata penyanyi yang popular dengan lagu Tetap Menantimu ini lagi, ini merupakan kali pertama dia berhadapan dengan situasi perasaan luar biasa ketika proses rakaman hingga membuatkan dirinya masih bingung ke hari ini.

“Sejujurnya saya hanya mahu pendengar menikmati buah tangan terbaru ini. Hasil tangan ini lebih matang jika mahu dibandingkan dengan karya-karya terdahulu.

“Sudah pasti saya bersyukur dan gembira dapat menghasilkan sebuah karya yang mengikut kematangan usia yang saya anggap sebuah cerita ‘kesedihan yang sangat bahagia’,” katanya.

Mengejar Cinta telah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital bermula 16 Februari yang lalu.

Lirik video juga boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music pada hari yang sama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN