KUALA LUMPUR: Penyanyi, Marsha Milan, mengambil keputusan untuk menangguhkan kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) yang sepatutnya dilakukan tahun lalu kerana belum bersedia untuk menimang cahaya mata.
Menurut Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh, 38, setakat ini dia sedang dalam proses belajar dan bertanya pengalaman rakan terdekat yang sedang melalui kaedah itu.
“Setiap tahun saya kata nak buat IVF, tapi lepas berbincang dengan suami, rasanya bukan dalam masa terdekat.
“Apa yang boleh saya katakan, saya sedang bersedia untuk melalui proses itu dengan membuat kajian kerana kata orang, perjalanan IVF bukan mudah.
“Kebetulan, saya ada rakan-rakan terdekat yang sedang menjalani IVF dan banyak bertanya kepadanya. Ada yang kata ia menyakitkan, jadi seram juga saya,” katanya.
Marsha ditemui Utusan Malaysia di majlis ‘Meet And Greet’ Paling Ikonik Anugerah Juara Lagu ke-38 yang berlangsung di Pasar Seni, baru-baru ini.
Walaupun sudah sembilan tahun berkahwin, penyanyi Kembali Terang itu lega kerana suami, Mohamed Shaiful Nizam tidak pernah mendesak memiliki anak.
“Suami saya sangat terbuka tentangnya. Dia tidak pernah mendesak atau memaksa.Saya yang selalu tanya dia adalah, bila nak berbincang dan sebagainya.
“Tapi dia sangat santai. Katanya, kalau ada rezeki, adalah,” jelas Marsha.
Bukan itu sahaja, faktor kerjaya juga menjadi antara perkara yang difikirkan Marsha sekiranya mahu memiliki anak.
“Jika mahu menjalani IVF, saya juga perlu fikir banyak perkara seperti memperlahankan kerjaya seni.
“Saya pula tahun ini sedang dalam proses merakam dan mengumpulkan bahan untuk menghasilkan album terbaharu,
“Kalau tiada halangan, saya cuba hujung tahun ini. Saya tunggu juga perkembangan kawan-kawan saya,” katanya.
Untuk rekod, Marsha mendirikan rumah tangga bersama seorang usahawan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada 2015