KEMELUT yang menghimpit hubungan tiga penjuru antara penyanyi dan pempengaruh, Mizz Nina, Noh Salleh dengan anak angkat mereka, Musa, ternyata bukan satu perkara yang remeh terutama apabila ia sudah mula mendapat perhatian ramai.
Bahkan, jika ada yang menganggap hanya Mizz Nina dan Noh sahaja yang tidak tenteram dengan kontroversi yang berlaku, anda silap.
Ini kerana, individu yang turut terpalit dengan kekusutan konflik itu tentunya adalah ibu kandung kepada Musa yang dikenali sebagai Athira.
Memaklumkan bahawa segala kenyataan yang dikeluarkan oleh vokalis kumpulan Hujan kepada pihak media adalah tidak benar, keadaan terkini yang berlaku juga membuatkan dirinya sangat kecewa kerana berasa dirinya telah dimanipulasi.
Kongsi Athira, hakikatnya dia tidak pernah memberikan keizinan kepada penyanyi tersebut untuk mengambil Musa ketika ia di bawah penjagaan Mizz Nina.
“Ketika Noh minta saya menandatangani Statutory Declaration (SD), dia mengatakan sekurang-kurangnya bila Nina ke luar negara, dia dapat menjaga Musa. Jadi saya fikir Nina sibuk dengan kerja, maka saya izinkan dia menjaga Musa buat sementara.
“Disebabkan itu saya tandatangani SD (akuan berkanun) itu. Saya tandatangani SD itu di hadapan pekerjanya sahaja. Tiada orang lain. Tiada Pesuruhjaya Sumpah.
“Saya tak tahu sah atau tidak ketika itu. Kemudiannya saya diberitahu saya sepatutnya tandatangani SD itu di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Jadi SD itu tidak sah.
“Saya juga tak tahu dia merancang untuk mengambil Musa dan sebagainya. Jadi bila saya dengar kenyataan yang diberikan kepada media semalam dan kelmarin, saya terkejut kerana apa yang dia cakap semuanya tak betul,” katanya.
Athira menegaskan sejak dari awal, dia menyerahkan penjagaan Musa hanya pada Mizz Nina.
“Dari awal, saya tandatangani surat penyerahan itu di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Nina adalah penjaga Musa yang sah,” katanya.
Dalam masa sama, Athira tidak menolak wujud kemungkinan bahawa perkara ini dirancang lebih awal oleh Noh bersama pengasuh Musa.
Namun, kata Athira, dia tidak tahu menahu mengenai perancangan mereka untuk mengambil Musa pada 19 Disember lalu.
Pada masa yang sama, Athira turut kesal apabila nama penuhnya tersebar selepas dia memohon permintaan maaf dari Noh.
“Saya mula pelik apabila Noh menyuruh saya menyekat nombor telefon Nina. Jadi di sini niat saya hanya mahu memberitahu perkara yang betul selepas melihat apa yang berlaku sekarang ini.
“Malah berkenaan gambar Musa dimuat naik di laman sosial, Noh tahu kami sudah berjanji untuk tidak mendedahkan wajahnya. Nina juga memuat naik gambar tanpa mendedahkan wajah Musa, jadi tak akan dia tidak faham?
“Saya memang tak mahu muka Musa didedahkan, antara sebabnya saya menghormati Nina sebagai pempengaruh.
“Kemudian sekali lagi dia Noh mendedahkan nama penuh saya, sedangkan dia yang merancang semua ini. Saya geram dan merasakan dirinya saya seakan diguna-gunakan. Sekarang mangsanya adalah saya.
“Dia seolah-olah berdendam dengan saya apabila dia berbuat demikian, kalau dia betul-betul memohon maaf bukan itu caranya, malah sekarang rasanya dia sudah menyekat nombor telefon saya,” katanya.
Saya tidak dibayar
Sementara itu, bertanya sama ada dia dibayar oleh Mizz Nina seperti yang didakwa netizen, Athira sekali lagi menegaskan tiada unsur rasuah yang berlaku sebaliknya dia hanya mahu menyatakan kebenaran.
Selepas kekeliruan yang berlaku, Athira turut memohon Noh untuk tampil berkata perkara yang betul supaya tidak mewujudkan kekusutan dan salah faham ramai.
“Tidak, saya tidak dibayar. Saya hanya mahu dia beritahu perkara yang betul, dari apa yang dia rancang sampai apa yang berlaku. Saya juga sudah membuat laporan polis pada Januari lalu bagi tujuan keselamatan,” katanya.
Terdahulu, Noh mendakwa bekas isterinya, Mizz Nina bukanlah satu-satunya penjaga yang sah ke atas anak angkat mereka, Musa.
Noh atau nama sebenarnya Muhammad Noh Salleh yang ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kelmarin berkata, ibu kandung Musa juga sudah membenarkan dia untuk menjaganya menerusi akuan berkanun yang Athira sendiri serahkan kepadanya.
“Kami sudah buktikan dan tunjuk surat itu kepada pihak Nina. Nama saya juga dinyatakan sebagai penjaga sah Musa dalam dokumen yang saya sendiri daftarkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa ditemani Nina,” katanya.
Terdahulu, Nina mendakwa Noh membawa keluar Musa tanpa sebarang kebenaran dan pengetahuannya. Menurut Nina, kejadian itu berlaku pada 19 Disember tahun lalu sewaktu dirinya dalam penerbangan pulang ke Kuala Lumpur. Nina ke luar negara atas urusan kerja.
Walau bagaimanapun, Noh menafikan dakwaan yang mengatakan adanya unsur penculikan. Malah, Noh mendakwa sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.
Noh kemudiannya tampil memuat naik video di Instagram selepas dituntut oleh Athira untuk menarik balik kenyataannya, buat permohonan maaf secara terbuka dan padam gambar Musa di media sosial dalam tempoh 24 jam.