KUALA LUMPUR: Pelakon, Nabila Huda, mengingatkan sikap yang baik di set penggambaran akan menentukan jangka hayat perjalanan karier seseorang pelakon.
Tegur Nabila atau Nabila Huda binti Suhaimi, 39, pelakon baru perlulah bijak membawa diri seperti ringan mulut menegur rakan sekerja di set penggambaran.
“Asas sebagai seorang pelakon ialah kita saling menghormati antara satu sama lain.
“Ada juga sebelum ini yang datang set penggambaran tapi tidak bertegur langsung, sibuk dengan telefon bimbit dan dunia sendiri.
“Tapi saya tidak boleh cakap lebih, kerana itu hak masing-masing.
“Paling penting jika berperangai baik, jauhlah dia akan pergi. Jika tidak, tengoklah sampai mana dia nanti,” katanya.
Nabila ditemui Utusan Malaysia di set penggambaran drama bersiri Astro Shaw Project: Exit, di Universiti Malaya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Nabila bersyukur kerana gandingannya dalam drama Project: Exit yang terdiri daripada barisan pelakon muda memberikan kerjasama yang baik sepanjang penggambaran.
“Sebelum ini saya hanya pernah bekerja dengan Naim Daniel sahaja. Ini kali pertama saya bekerja dengan bakat baharu yang lain seperti Mierul Aiman dan Shasha Abedul.
“Apa yang boleh saya katakan, mereka adalah pelakon pelapis berbakat yang memiliki sikap yang baik.
“Aura di set penggambaran kali ini seronok, tidak ada yang bersikap sombong,” katanya.
Pertama kali memegang karakter pengetua di pusat pemulihan akhlak, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2022 itu mengakui berdepan cabaran menghafal skrip dengan gaya pertuturan formal.
“Apa yang paling mencabar ialah karakter Ibu Zan dalam drama ini sangat berlainan dengan saya.
“Maklumlah pengetua kena cakap teratur. Ada satu skrip itu penuh dengan ucapan sehingga empat muka surat.
“Waktu penggambaran saya memang tak berbual dengan sesiapa, nak senyum pun tak mampu sebab nak fokus kepada dialog tersebut,” tambahnya.
Project: Exit merupakan drama bersiri enam episod yang akan mengupas mengenai situasi di sekolah pemulihan akhlak.
Cerita yang diinspirasikan daripada kisah benar ini dijangka menemui penonton pada September tahun ini.