Berpindah? Kenapa pula saya yang perlu ‘lari’? - Zed Zaidi - Utusan Malaysia

Berpindah? Kenapa pula saya yang perlu ‘lari’? – Zed Zaidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Selebriti, Zed Zaidi, 43, mengakui tidak gentar menerima ugutan beberapa pihak dalam cubaan menyekatnya menyiasat dan menjalankan tugas sebagai Ahli Jawatan Kuasa (AJK) penduduk di kawasan perumahannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Seniman (Seniman) itu berkata, dia juga tidak bercadang untuk berpindah ke kawasan lain meskipun mendapat ancaman keselamatan membabitkannya dan keluarga.

“Dalam sebarang bentuk perjuangan, saya percaya kita tak perlu gentar sekiranya kita berada di pihak yang benar. Saya jenis tetap dengan pendirian.

“Buat apa pula saya berpindah? Ini rumah saya. Saya dah berjuang dalam macam-macam persatuan, walau macam mana rintangan dan ujian sekali pun saya tak pernah lari.

“Lagipun dalam isu ini, bukan saya yang salah. Sepatutnya mereka yang buat ugutan itulah yang kena pindah. Kalau kita lari, kita pula yang nampak takut walhal kita berjuang dengan saluran yang betul,”katanya.

Pada 17 Februari lalu, Zed dalam akaun TikToknya memberitahu telah menerima ugutan dalam lif bangunan kondominiumnya.

Menerusi pendedahan itu, Zed juga memberi amaran kepada individu terbabit untuk berdepan dengannya berbanding meninggalkan ugutan yang mengancam keselamatannya dan keluarga.

Sementara itu, ditanya berhubung perkembangan terkini mengenai ugutan tersebut, Zed mengakui masih menunggu hasil siasatan pihak berkuasa.

“Saya serahkan kepada pihak berkuasa mengenai kes tersebut. Saya pun sudah 17 tahun menetap di perumahan ini dan tak pernah ada isu dengan penduduk. Semuanya mula timbul bila saya utarakan isu pagar di perumahan ini.

“Bila saya galas tugas AJK, saya dapati sudah lima tahun audit pengurusan tidak dibuat. Kami barisan AJK yang baharu terpaksalah buat siasatan lanjut memandangkan kepimpinan terdahulu tiba-tiba letak jawatan beramai-ramai.

“Saya tidak akan berkompromi dengan isu yang berlaku kerana apabila wujud ugutan tertentu hingga mengancam keselamatan keluarga, ia tidak boleh dipandang ringan.

“Macam-macam yang mereka lakukan untuk sabotaj. Bahkan isteri saya pun takut nak keluar rumah kerana bimbang apa-apa terjadi. Saya memandang serius perkara ini,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN