KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pempengaruh media sosial, Adira, mengakui tidak menemui jalan lain selain perpisahan meskipun sedar suaminya, Datuk Red, masih berusaha mempertahankan perkahwinan mereka.
Adira atau Siti Adira Suhaimi, 32, berkata, dia sudah berbincang dan berfikir masak-masak mengenai keputusan tersebut sejak bertahun-tahun lalu.
“Buat masa sekarang, memang perpisahan sahaja jalan yang saya nampak. Saya tak boleh nak cerita lebih lanjut.
“Kekuatan ini (bercerai) bukan saya baru dapat setahun, dua. Tapi sudah lama.
“Bermacam pengajaran dan pengalaman membuatkan saya lebih matang, kuat dan tenang menghadapi ini,” katanya.
Adira ditemui Utusan Malaysia di program Zumba bersama Nora Danish dan Elisya Sandha, di Taman Tun Dr Ismail, hari ini.
Dilihat ceria dan gembira di media sosial, penyanyi Takdir Tercipta itu enggan menunjukkan emosi buruk kepada anak-anak.
“Apa yang saya tunjukkan di media sosial adalah benar. Saya tidak berpura-pura gembira.
“Penting untuk seorang ibu kepada empat orang anak tunjuk yang positif sahaja.
“Saya elak nangis depan anak. Ibu tunjang keluarga, jika hati kurang senang mereka akan rasa melalui layanan kita.
“Kadang kalau kita tak okay, terjerit kepada anak. Itu yang saya tak nak,” katanya.
Selagi masih berstatus suami isteri, Adira tidak menghalang Datuk Red untuk bermalam dan meluangkan masa dengan empat orang anaknya.
“Saya tidak mahu halang dia berjumpa anak.
“Anak pun perlukan ayah. Jadi saya ingin berpisah dengan cara matang dan baik,” katanya.
Terdahulu, Adira telah memfailkan perceraian dengan suaminya, Datuk Seri Adnan atau Datuk Red pada 25 Oktober lalu.
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat menetapkan 5 Mac 2024 bagi keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik Adira dan suaminya berhubung proses penceraian mereka.