PETALING JAYA : Bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi , Nurul Shuhada mengakui, perceraian yang dialami menyebabkan dirinya belum bersedia untuk membuka pintu hati untuk berkahwin lagi buat masa sekarang.
Tidak menolak bahawa masih trauma dengan kejadian lalu, Shuhada berkata, anak-anaknya juga tidak merestui seandainya dia membuat keputusan untuk bersuami.
“Sejujurnya saya tak bersedia untuk mendirikan rumah tangga lagi kerana saya dan anak-anak masih trauma. Mereka juga risau kalau saya salah pilih pasangan dan menangis lagi.
“Saya memang nak jaga emosi anak-anak, berikan kebahagiaan buat mereka dan tak mahu mereka membesar dalam suasana tidak elok,” katanya.
Shuhada berkongsi perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru bagi menghadiri perbicaraan kes pukul melibatkan Hafidz, semalam.
Dalam pada itu, Shuhada tidak menolak ada lelaki yang cuba untuk mendekati namun dia memilih untuk enggan membebankan diri dan perasaan lagi.
“Memang ada cuba dekati saya dan anak-anak tapi saya anggap hanya kawan sahaja sebab hendak mulakan hubungan baru itu saya kena sembuhkan diri sendiri dahulu,” ujarnya.
Sementara itu, Shuhada memberitahu fokus utamanya ketika ini hanya mencari kebahagiaan buat kedua anaknya iaitu Humairah dan Umar.
“Sekarang ini bukan masanya mencari pengganti mahupun kejar dunia sebab yang penting nak didik anak-anak.
“Nak jaga mereka elok-elok sebab tak mahu mereka mengulangi kesilapan macam saya dan kalau boleh nak capai cita-cita tertangguh dulu,” ujarnya.
Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 namun pasangan tersebut disahkan bercerai pada 27 Julai tahun lalu.