KUALA LUMPUR : Lantunan vokal dan kekuatan melodi lagu Hasrat membuatkan penyanyi, Amir Jahari, dianggap sebagai pencabar terdekat di pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38.
Penyanyi Aina Abdul dan Ernie Zakri antara peserta yang merasakan Amir Jahari memiliki kelebihan dari aspek mesej lagu dan melodi, sekali gus memberi saingan di malam kemuncak, 3 Mac nanti.
“Semua peserta pun hebat, tapi lagu Hasrat oleh Amir Jahari sangat dekat dengan diri saya.
“Sebelum menjadi Aina Abdul, saya pernah ada watak indie yang main gitar dan bernyanyi.
“Bila nampak abang (Amir Jahari) di dalam elemen itu, saya gembira untuk dia,” kata Aina yang turut memuji lontaran vokal Amir yang dianggap sangat kemas.
Turut bersetuju dengan pandangan Aina ialah penyanyi Astana, Ernie Zakri yang menyenaraikan Amir Jahari sebagai peserta kegemarannya.
“Saya bertanding dengan semua orang kerana yakin mereka akan memberi persembahan yang sukar dijangka.
“Namun, ada beberapa lagu yang dekat dengan diri saya seperti Hasrat, Jangan Mati Rasa Itu dan Sutera.
“Manakala untuk vokal, Aina Abdul, Marsha, Aisha Retro dan semestinya Amir Jahari,” tambahnya.
Aina dan Ernie masing-masing ditemui Utusan Malaysia di sesi Meet & Greet Paling Ikonik AJL 38 di Pasar Seni, baru-baru ini.
Tinggal beberapa minggu sahaja lagi sebelum acara AJL 38, Aina menjanjikan sebuah persembahan yang ikonik dengan busana hasil sentuhan pereka fesyen terkenal, Melinda Looi.
“Tahun ini saya tidak memakai warna putih kerana enggan mengulang fesyen tahun lalu. Tapi warna yang dipilih sangat bersesuaian dan mewakili lagu Jangan Mati Rasa Itu.
“Tekanan memang ada, tapi Allah memberikan saya perasaan seronok. Saya ingin menikmati perasaan ini dan bersyukur dengan peluang yang diberikan,” katanya.
Manakala bagi Ernie, dia berharap dapat memberikan sebuah persembahan yang boleh diingati oleh semua penonton AJL setiap generasi.
“Berbekalkan semangat dan usaha, tahun ini saya mahu berikan sebuah persembahan yang sangat mengesankan sehingga dikaji oleh orang ramai.
“Saya mahukan sebuah persembahan yang dapat menjadi bahan sejarah. Saya sangat gementar tapi bersemangat untuk berentap di pentas AJL,” kata Ernie.
Malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-38 bakal berlangsung di stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 3 Mac ini.
AJL 38 kali ini bakal membawa tema Muzikaverse, iaitu gabungan dua perkataan muzikal dan ‘universe’ yang menemukan penyanyi, pencipta lagu dan komposer di atas pentas yang sama.