Adegan bersentuhan, saya hanya manusia biasa - Johan Asaari - Utusan Malaysia

Adegan bersentuhan, saya hanya manusia biasa – Johan Asaari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENAR kata orang, tidak akan terhapus aura dan kredibiliti seseorang pelakon yang hadirnya berasaskan bakat dan kemampuan. Jika molek adab dipasak bersama, pasti kekal relevan hingga akhir usia.

Tetapi diberi peluang menerajui watak utama dalam drama baharu, Menanti Senja, pelakon, Johan Asaari meluahkan rasa syukur kerana kepercayaan daripada penerbit dan pengarah tetap ada.

Apatah lagi, di kala lambakan pendatang baharu silih berganti saban hari, pasti ada kerisauan dalam hati Johan sementelah dia sendiri mengakui sudah lama tidak beraksi di layar kaca terutama di stesen tertentu.

“Sejujurnya, memang terharu sangat masih diberikan watak utama. Dapat pula bergandingan dengan heroin baharu seperti Trisha Oii menerusi drama Menanti Senja yang sedang ditayangkan menerusi TV3.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat beruntung. Bayangkan walaupun terpaksa bersaing dengan kehadiran hero-hero baharu yang muda dan segar, saya tetap diberi kepercayaan dan peluang ini,” katanya.

Bercakap tentang persaingan, apa pula pandangan pelakon yang mencetuskan fenomena menerusi drama Juvana itu terhadap pelakon-pelakon baharu yang tumbuh ibarat cendawan selepas hujan?

Adakah dia risau dengan persaingan yang ada? Mungkin ada perkongsian apabila berlakon dengan bakat-bakat baharu? Sementelah, ada dakwaan mengatakan segelintir pelakon baharu punya perangai sendiri.

“Tidak risau pun. Saya percaya dengan rezeki. Setiap orang ada pintu rezeki yang telah ditetapkan Tuhan. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar untuk saya. Seronok tengok perkembangan industri seni.

“Kalau cakap soal persaingan, bagi saya mereka semua pelakon yang baik. Mereka semuanya ada kesungguhan. Bila masuk ke set penggambaran, mereka akan buat sehabis baik.

“Teringat pula saat saya mula-mula masuk industri seni. Kalau niatnya baik, mahu cari rezeki dan memperjuangkan bakat sendiri, saya percaya mereka juga akan berjaya. Jadi saya sentiasa sokong dan beri mereka peluang,” ujarnya.

BERSENTUHAN

Melayangkan pertanyaan, adakah dia sebenarnya merajuk dengan industri seni selepas dikatakan kurang muncul di layar kaca dan perak? Atau sebenarnya dia sudah mula selektif dan demand?

“Saya belum sampai ke tahap selektif lagi. Siapa saya untuk memilih skrip, pengarah atau pelakon bersama? Saya sendiri masih banyak nak belajar. Tak terfikir lagi hendak menolak tawaran buta tuli.

“Cuma ada beberapa watak yang mungkin saya tidak sesuai untuk bawakan. Contohnya macam karakter splastik. Bukan saya memilih, tetapi saya tidak gemar untuk bawa watak-watak sebegitu.

“Menanti Senja adalah hadiah untuk mengubat kerinduan peminat. Lama kan saya tidak muncul di kaca televisyen?” ujarnya pelakon berusia 37 tahun itu.

Lantas bagaimana pula dengan khabar angin yang mengatakan dia sudah tidak mahu lagi menerima watak yang memerlukan sentuhan dengan wanita? Adakah penghijrahannya juga antara sebab prinsip tersebut tercetus?

“Sebenarnya, saya tidak pernah cakap menolak babak bersentuhan pun sebelum ini. Mungkin orang melihat saya belajar tinggi bab agama. Tetapi, saya ini cuma manusia biasa sahaja. Tidak sempurna.

“Saya pula seorang pelakon yang sentiasa melakukan apa yang perlu untuk sesebuah karya. Saya tidak boleh menipu kerana apa yang saya lakukan, adalah untuk kebahagiaan sendiri.

“Dalam masa sama, saya akan cuba menambah baik melalui kehidupan yang saya belajar. Hari demi hari. Bak kata orang tua, pengalaman mendewasakan kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN