KUALA LUMPUR : Pelakon dan selebriti media sosial, Ozlynn Waty, 43, mengakui, menggalas watak wanita kesedihan atau sedang menangis lebih mudah berbanding karektor wanita yang gila-gila.
Menurut Ozlynn atau nama sebenarnya Rozlinawaty Ismail, watak wanita yang penuh humor atau komedi sebenarnya tidak begitu digemari namun demi menghiburkan peminat dan penonton, dia tidak kisah untuk membawakannya.
“Katektor gila-gila adalah apa yang paling yang saya tak berapa suka sebenarnya. Tetapi, itulah apa yang orang lain suka tengok.
“Daripada watak yang berat, bertukar jadi karektor macam itu (gila-gila), susah tahu. Bagi saya, watak menangis itu lebih mudah,”katanya dalam satu hantaran di Instagram, semalam.
Ozlynn berkata demikian bagi merujuk watak Aloya yang dibawakannya dalam sebuah drama berjudul Imamku Okey yang bersiaran di RTM sekitar tahun 2022.
Selain itu, kongsi isteri pelawak terkemuka, Johan ini, menerusi drama tersebut, watak Aloya juga mempunyai perubahan yang banyak apabila kebanyakan dialog telah sengaja diolah dan ditambah sendiri olehnya mengikut persetujuan pengarah, Harris Fadzillah.
“Sejujurnya banyak dialog watak itu telah ditambah dan tiada dalam skrip. Itulah cabaran setiap pelakon, datang set dalam keadaan berduka tetapi perlu juga tutup duka itu dan gantikan suka.
“Begitu juga kalau sedang suka kemudian kena jadi duka, tutupkan marah jadi suka. Inilah yang dikatakan cabaran dalam mencari rezeki dan setiap orang berbeza.
“Kadang-kadang, bila pengarah jerit ‘action’ saja terus kena menangis,”katanya.
Disebabkan itu, kata Ozlynn lagi, dia sebolehnya tidak mahu membawa ‘pulang’ watak yang dibawakan di set penggambaran masuk ke dalam rumah.
“Sebelum balik rumah, saya kena pastikan buang dulu watak, masukkan semula ‘roh’ sendiri bak kata orang seni.
“Jangan terbawa-bawa sampai ke rumah. Nanti suami sendiri tengok kita atas bawah bila balik dengan bunga berkuntum-kuntum di atas kepala (merujuk watak Aloya),”katanya.