SEJAK penubuhan pada tahun 2015, Kugiran Masdo semakin mendaki tangga populariti dan diterima tidak hanya di Malaysia, malah Indonesia, Singapura dan Jepun.
Terkini, band yang dipanggil sebagai Masdo ini baru sahaja menerima undangan persembahan di London selama dua hari Februari nanti.
Tidak hanya mempunyai pengaruh peminat yang kuat. Masdo membuktikan muziknya berkualiti apabila menjadi finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) ke 37 dan 38. Tahun lalu juga, Masdo tercalon sebagai Artis Berkumpulan Popular untuk Anugerah Bintang Popular (ABP) ke 35.
Masdo membuat keputusan untuk menambah bilangan ahli dalam pasukan produksinya. Maka, mahu atau tidak, bayaran jemputan untuk setiap persembahan juga sudah berbeza.
“Kami akui memang harga jemputan persembahan Masdo sudah semakin tinggi.
“Dulu kami hanya berenam, namun sekarang kami sudah mempunyai berbelas orang untuk satu pasukan.
“Di situ Masdo mempunyai tanggungjawab memberi rezeki kepada pasukan produksi kita sendiri. Dengan harga setimpal insya-Allah semua orang boleh hidup,” kata Putut Ceri yang juga merupakan pemain gitar Bass Kugiran Masdo.
Masdo turut menafikan khabar angin bahawa ada pihak yang mengatakan kumpulan itu sudah semakin besar kepala dan sukar didekati sejak popularitinya semakin meledak.
“Kami okay sahaja. Memang kami sangat sibuk. Jadual persembahan semakin padat.
“Namun tidaklah sampai kami sukar didekati. Tiada pula apa-apa (syarat) yang kami buat menjadikan kami sukar didekati,” tambah Putut Ceri atau nama sebenarnya, Ahmad Azanol Khushairie.
AJL 38 mungkin milik Aina Abdul
Menjadi satu-satunya band yang lolos ke pentas Anugerah Juara Lagu ke 38, Masdo sudah memulakan perbincangan yang memberi fokus kepada konsep persembahan.
“Kami tiada perancangan untuk buat sesuatu yang luar biasa seperti keluar dari atas bangunan. Kita lebih menekankan kepada lagu dan konsep persembahan.
“Kami sudah lakukan mensyuarat dengan beberapa pihak untuk berbincang mengenai pakaian. Namun setakat ini kita biarlah ia menjadi rahsia,” tambahnya.
Tidak mempunyai target untuk menjadi juara, Masdo bagaimanapun merasakan penyanyi Aina Abdul bakal membolot jelaran juaran AJL sekali lagi tahun ini.
“Masdo sudah dapat ke pentas AJL pun sudah bersyukur. Kami hanya ingin memeriahkan suasana dan tidak ada target khusus.
“Memang tahun ini saingan sengit. Tapi saya rasa tahun ini mungkin Aina Abdul sekali lagi menjadi juara kerana lagunya sangat kuat,” tambahnya.
Pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 3 Mac depan.