KUALA LUMPUR : Pelawak dan usahawan, Shuib, mendedahkan, satu kata sepakat berjaya dicapai antara pihak Bubblebee Sdn Bhd (Bubblebee) dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan isu culas membayar caruman pekerja yang menjadi tular baru-baru ini.
Menurut Shuib, sebagai pemilik Bubblebee, Shuib berkata, perbincangan antara pihaknya dengan KWSP telah dilakukan dan satu perjanjian telah diwujudkan di hadapan mahkamah.
“Bubblebee ingin menerangkan perkembangan terkini tentang isu-isu yang berkaitan dengan tunggakan caruman KWSP seperti berikut dan kami ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul.
“Untuk pengetahuan semua, pihak Bubblebee telah mengadakan perbincangan dengan pihak KWSP secara formal dan kedua-dua pihak telah berjaya mencapai satu perjanjian penyelesaian yang sempurna di hadapan Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya, Selangor pada awal tahun ini (2024),”katanya.
Perkongsian itu telah dibuat Shuib dalam satu hantaran di Instagram, hari ini.
Selain itu, Shuib menegaskan, pihaknya akan menjalankan tanggungjawab mereka seperti yang telah dikemukakan demi menyelesaikan isu ini dengan cara terbaik.
“Seterusnya, pihak Bubblebee akan mematuhi dan melaksanakan kesemua kewajipannya selaras dengan terma-terma penyelesaian yang telah dipersetujui.
“Oleh itu, pihak Bubblebee dengan ini menjelaskan bahawa isu-isu tersebut telah diselesaikan dengan sempurna,”katanya.
Dalam pada itu, pihak Bubble Bee juga berharap agar segala spekulasi berhubung isu tersebut dihentikan selain tidak teragak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan fitnah.
Kata Shuib, Bubblebee juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan atau tuduhan yang tidak benar dan berniat jahat terhadap pihak Bubblebee mengenai isu-isu tersebut.
“Pihak Bubblebee berharap sebarang spekulasi atau sebaran fitnah yang tidak berasas dihentikan segera dan saudara-saudari akan terus menyokong perniagaan pihak Bubblebee.
“Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan saudara-saudari yang berterusan terhadap pihak Bubblebee selama ini selaku sebuah jenama tempatan Malaysia yang berhasrat dan berusaha menempa nama di peringkat antarabangsa,”katanya.
Terdahulu, tular di laman TikTok apabila seorang individu mendakwa syarikat Bubble Bee tidak membayar caruman KWSP pekerja sejak awal tahun 2023.
Tidak hanya itu, individu tersebut turut mendakwa berlakunya kelewatan pembayaran gaji serta elaun kerja lebih masa pekerja Bubble Bee.