Babak panas: Fasha Sandha sekadar lunas tuntutan skrip - Utusan Malaysia

Babak panas: Fasha Sandha sekadar lunas tuntutan skrip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKON hebat, Fasha Sandha menggalas tanggungjawab lebih besar lebih-lebih lagi selepas drama lakonannya, Rampas Cintaku yang ditayangkan di platform IQIYI menjadi fenomena dengan 100 juta tontonan digital.

Kini, peranan Fasha menjayakan watak Datin Safieya dianggap bertambah mencabar dengan kewujudan babak-babak ‘atas katil’ yang berpotensi mengundang kecaman penonton menerusi Rampas Cintaku musim kedua yang akan ditayangkan di platform sama bermula 16 Januari depan.

Fasha, ketika disoal tentang perkara itu baru-baru ini, memaklumkan dia sedia berdepan kecaman gara-gara adegan-adegan itu. Katanya, sebagai pelakon, dia sekadar melunaskan tuntutan skrip.

“Setiap naskhah dihasilkan dengan pengajaran. Tugas saya adalah untuk menyampaikan mesejnya.

“Saya yakin babak (atas katil) itu kelak akan diperkatakan. Terpulang kepada penonton, terima dari sudut positif atau negatif.

“Yang penting saya harapkan cerita ini hits dan fenomena seperti musim pertama,” jawab Fasha.

Fasha tidak menolak dirinya sering dilabelkan sebagai pelakon sensasi yang namanya panas menerusi adegan-adegan kontroversi. Pelakon tinggi lampai ini terbuka menerima pandangan umum dan menganggap label yang diberikan sebagai lumrah pekerjaannya.

“Saya okey sahaja, tak ada masalah dengan label yang orang berikan. Mereka bebas berkata apa pun.

“Saya hanya mencorakkan skrip, sekadar buat kerja saya. Saya buat bukan kerana orang lain, tapi untuk diri dan kerjaya saya. Datanglah sebanyak mana label yang orang berikan, saya tetap jadi diri sendiri.

“Lakonan adalah periuk nasi saya sejak umur saya 18 tahun. Saya tak pernah berhenti, bercuti panjang, melainkan ketika hamil dan melahirkan.

“Saya seronok dengan kerjaya ini. Harap masyarakat pandang positif. Terpulang kalau nak label saya pelakon daring. Saya tak akan sesekali melenting kerananya,” kongsinya.

MENGIDOLAKAN ERRA FAZIRA

“Beliau adalah ratu dan primadona yang saya pandang tinggi”

Itu respons Fasha saat diajukan tentang rakan industrinya, Erra Fazira yang turut menjayakan drama berkenaan.

Sebagai fan girl, Fasha mengakui terlalu gugup dan gemuruh bergandingan dengan Erra yang memiliki aura tersendiri.

“Saya akan rasa gugup setiap kali hendak ke set penggambaran drama ini. Malam pula susah nak tidur sebab esoknya nak jumpa Erra Fazira. Kami sebelum ini bukan tak pernah berjumpa, tapi bila berlakon sama, lain perasaannya.

“Saya pernah kelu, tak daya nak ucap dialog sebab terlalu gugup depan beliau. Tapi Erra pelakon yang sangat baik, cukup memberi sokongan.

“Seronok rasanya berkongsi frame dengan seorang primadona,” ujarnya teruja.

Dalam pada itu, Fasha menolak jika ada pihak yang menganggapnya seorang pelakon bertaraf primadona. Katanya, gelaran itu terlalu mega untuk seorang Fasha Sandha.

“Saya tak layak untuk gelaran itu. Ia terlalu besar untuk saya. Banyak lagi kelemahan yang perlu saya perbaiki.

“Pada saya, Erra Fazira dan Ella, dua nama yang layak untuk gelaran primadona,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya