KUALA LUMPUR : Hasrat pelakon dan selebriti media sosial popular, Che Ta atau Rozita Che Wan meraikan ulang tahun perkahwinan ke-10 pada tanggal 11 Disember (esok) terbantut selepas dia disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.
Menurut Che Ta, meskipun mengakui teruja untuk menyambutnya bersama suami, pelakon, Zain Saidin, dia bagaimanapun reda dengan ujian yang menimpa.
“Kalau diikutkan,semua persiapan untuk meraikan ulang tahun perkahwinan ke-10 itu sudah siap. Jemputan, lokasi majlis, solekan, busana pun sudah diatur.
“Tapi apakan daya, pada 8 Disember lalu saya melakukan ujian kendiri Covid-19 dan keputusannya positif. Nampaknya gelombang baharu virus ini datang kembali dan ia bukan satu omong kosong.
“Saya pun tak mahu risikokan diri, keluarga dan tetamu untuk majlis sambutan perkahwinan ini. Jadi buat sementara waktu, tunda dulu majlis berkenaan. Biar semuanya baik-baik dulu,” katanya.
Ditanya mengenai keadaannya kini yang melakukan kuarantin kendiri di banglo mewah di Damansara, ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui keadaannya sedikit lemah.
“Nak tidur pun susah. Sakit kepala rasa macam nak pecah otak. Saya pun batuk berterusan macam nak terbelah dada.
“Pada 9 Disember lalu, saya buat lagi ujian kendiri Covid-19 dan masih positif. Harap semua akan baik-baik saja selepas ini.
“Jadi kita jangan ambil mudah perihal virus ini yang belum lagi terhapus dalam hidup kita,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Che Ta baru saja selesai penggambaran program masakan Cuit Cuit CheTa musim ketiga yang akan disiarkan di TV Okey bulan Ramadan depan.
“Kali ini, saya mengendalikan program 30 episod itu bersama suami tercinta dengan kehadiran tetamu di kalangan artis sebagai ‘chef’ masakan.
“Selepas itu, saya akan jadi juri program The Mask Singer musim keempat. Selain itu saya akan lancar produk terbaharu ByRCW awal tahun depan,” katanya yang baru-baru ini turut menerima anugerah dari Bumiputera Business Excellence Award 2023.