Pentas Marhaban; Mawaddah tewas di tangan Soutun Nadwah - Utusan Malaysia

Pentas Marhaban; Mawaddah tewas di tangan Soutun Nadwah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Harapan untuk mara ke peringkat separuh akhir program Pentas Marhaban ternyata hampa buat Kumpulan Mawaddah apabila mereka diumumkan tersingkir setelah ditewaskan oleh kumpulan Soutun Nadwah pada minggu ketiga, kelmarin.

Menerusi siaran langsung di TV AlHijrah, kumpulan Soutun Nadwah diangkat sebagai pemenang pada minggu ketiga sekali gus menyaksikan mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,500.

Juri tetap program, Ustaz Zulhafis atau lebih dikenali sebagai Along Gambus berkata, kesemua juri bersepakat memilih Soutun Nadwah kerana mereka berjaya mengangkat dan menginovasikan marhaban sekali gus diterima oleh golongan muda.

Jelasnya, selain teknik vokal, kreativiti persembahan juga diambil kira kerana mahukan persembahan yang lari daripada kebiasaan.

“Juri nampak kelebihan pada Soutun Nadwah dari segi persembahan solo yang lebih baik daripada kumpulan lawan manakala persembahan ditonjolkan juga lebih menarik.

“Minggu ini kita nampak kreativiti kumpulan Soutun Nadwah yang lebih menonjol malah lebih baik dan sangat ketara daripada peserta pada minggu-minggu sebelum ini,” katanya.

Menurutnya Along Gambus lagi, penggunaan alat muzik pada minggu ini juga menampakkan kelebihan dan menambah nilai persembahan bagi kedua-dua kumpulan bertanding.

Beliau turut berharap untuk minggu-minggu seterusnya, peserta perlu pastikan fokus kepada apa yang program tersebut ketengahkan iaitu marhaban, berzanji, mawal dan qasidah, sekaligus membezakan keempat-empat kategori berkenaan.

Program realiti disiarkan selama lapan minggu itu turut diadili Ustazah Asni Mansor bersama seorang lagi juri jemputan, dan pada minggu ketiga Hafiz Hamidun menjadi juri jemputan.

Hadiah bernilai RM50,000 menanti juara manakala pemenang tempat kedua berpeluang membawa pulang RM25,000.

Soutun Nadwah telah berjaya menewaskan kumpulan Mawaddah selepas membuat satu persembahan bebas dan Rawi 5, manakala kumpulan Mawaddah membuat satu persembahan bebas dan Rawi 8.

Pentas Marhaban, satu program realiti keluaran TV AlHijrah diterbitkan bagi mengangkat martabat dan kesenian Islam seperti berzanji, marhaban, Rawi dan Qasidah serta menarik minat anak muda dalam menghargai keindahan amalan tradisi masyarakat Melayu ini.

Sebanyak 12 kumpulan marhaban akan bersaing dengan mengalunkan rangkaian puisi tentang kisah Rasulullah SAW serta puji-pujian kepada tuhan mengikut iramanya yang tersendiri. 

Tiga elemen utama yang menjadi teras dalam setiap persembahan adalah Mawal, Marhaban dan Qasidah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya