KUALA LUMPUR : Pelakon dan selebriti media sosial, Zarina Anjolie, dihujani dengan pelbagai respons daripada pengikut dan peminatnya selepas berkongsi mengenai perjalanannya menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah sejak dua hari lalu di Instagram.
Difahamkan, pelakon dengan nama sebenarnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul ini kini sedang menunaikan umrah bersama ibunya, Norzaini Abdul Hamid serta anak tunggalnya, Awangku Gabriel Martin Ezra yang berusia tujuh tahun.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata pengikut meluahkan rasa gembira dengan hasrat Zarina untuk menunaikan umrah bersama keluarga selain memuji kecantikannya mengenakan pakaian muslimah dan berhijab.
Malah, kerana itu juga, ramai menasihatkan agar Zarina mencuba kekal istiqamah untuk meneruskan niat baik dan menutup aurat dengan sempurna sekembalinya ke tanah air selepas ini.
“Anju ini sebenarnya orang yang baik. Harap lepas umrah ini dapat betulkan apa yang tak betul, menutup aurat dengan sempurna,”kata nuno_nuni.
“Cantiknya Anju. Moga diberi kesihatan baik untuk beribadah di sana, beroleh umrah mabrur Insha-Allah,” kata ferra_hafiz.
“Semoga mendapat umrah mabrur, dipermudahkan segala urusan Anju dan semua jemaah. Sihat selalu untuk beribadah dan selamat pergi dan pulang,”tulis atokkim.
“Syukur Alhamdulillāh, tahniah Zarina dan keluarga menjadi tetamu Allah SWT. Semoga segala urusan ibadah berjalan lancar dan dipermudahkan serta mendapat umrah yang makbul yang terbaik daripada Allah hingga ke al Jannatul Firdaus Insya-Allah. Doakan yang baik-baik buat kami ya,”kata seorang lagi pengikut.
Dalam pada itu, di ruangan Instagram Story (Igs), Zarina berkongsi satu hantaran video yang memaparkan dirinya berada di depan Kaabah dan mendoakan semua pengikutnya yang melayaninya dengan baik agar terus diberkati dan sentiasa dikurniakan rezeki dari-Nya.