PETALING JAYA : Penyanyi, Syada Amzah, 25, memohon maaf kepada ibunya, Fauziah Sarman, 55, kerana kini hubungan adik-beradiknya menjadi semakin keruh.
Menurut adik kepada penyanyi Shila Amzah dalam satu hantaran di Insta Story (Igs), konflik yang terjadi antara adik-beradik bukanlah disebabkan kesalahan dan kekurangan ibu dalam mendidik mereka.
“Maafkan kami adik beradik berbalah, bukan salah mak.
“Mak tidak hina macam apa yang dicaci. Mak dah lakukan yang terbaik untuk mendidik kami,” tulisnya.
Penyanyi Hasrat itu juga berikrar akan sedaya upaya menjaga ibunya sampai ke hujung nyawa dan mendoakan agar ibunya diberikan kekuatan.
“Selagi nyawa ada, Saya akan cuba segala daya jaga emak. Semoga emak diberikan kekuatan dan ketenangan,” katanya lagi.
Kemelut hubungan adik-beradik Shila Amzah semakin diperkatakan apabila Syada sebelum ini memuat naik kenyataan menyatakan rumahnya bakal dijual dan diusir seperti haiwan jalanan.
Shila semalam sempat membuat siaran langsung menjelaskan tidak ada niat mengusir keluarga daripada rumah tersebut. Dia ingin menjual banglo itu demi mencari kediaman yang lebih baik buat keluarganya.
Tambahan pula, rumah banglo tujuh bilik itu menyimpan kenangan pahit buat keluarga tersebut.