Janganlah anak tirikan persatuan seni kecil  - Utusan Malaysia

Janganlah anak tirikan persatuan seni kecil 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika dipecahkan industri seni kepada cabang muzik, filem atau drama, dapat dilihat, setiap satunya kini sedang menikmati kerancakan perkembangan ekonomi yang baik terutama selepas melewati zaman kelesuan sewaktu pandemik melanda negara.

Situasi itu tidak sama dengan apa yang dialami oleh cabang seni teater, di mana, keterbukaan untuk membuat pementasan masih belum meriah berbanding cabang seni lain hingga menyaksikan teater adalah bidang yang paling sukar untuk ‘bernafas’ atau benar-benar kembali hidup.

Ada banyak faktor yang memungkinkan itu berlaku dan satu yang utama tentunya adalah faktor kewangan atau dana yang tidak pernah mencukupi.

Bagaimanapun, kebelakangan ini mungkin pengamal seni teater boleh menarik sedikit nafas lega apabila perlahan-lahan langkah untuk menghidupkan kembali pementasan teater itu mula dilakukan.

Pun begitu, ia boleh dikira dengan jari. Yang mampu bergerak ligat mungkin produksi bernama besar. Lalu bagaimana pula dengan nasib produksi berskala kecil yang umpamanya baru hendak meneroka peluang?

Bercakap tentang nasib, luahan itu dibuat oleh Pengerusi Persatuan Seni dan Budaya Redholah (The Redholah), Amirul Haswendy kepada Utusan Malaysia, yang menyifatkan wujud ketidaksamarataan layanan antara gerakan persatuan teater kecil dengan yang sudah membina jenama besar dalam industri.

Tidak menolak wujud layanan bak anak tiri, Amirul berkata, situasi canggung itu membuatkan banyak persatuan seni dan budaya berskala kecil berkecil hati kerana tidak mendapat sokongan hingga akhirnya ramai memilih untuk menguburkan hasrat untuk ‘main teater’.

“Pengalaman ini apa yang kami lalui sendiri. Tak dinafikan layanan bak anak tiri itu wujud. Contohnya ketika ini, kami sedang berusaha membuat pementasan teater bangsawan Dang Anum, tempat untuk berlatih pun sukar untuk kami dapatkan meskipun sudah membuat permohonan.

“Layanan itu tak sama dengan yang ada nama besar, macam langit dengan bumi. Malah, kami yang persatuan kecil ini turut diburuk-burukkan oleh beberapa persatuan besar tanpa tahu sebab kukuh.

“Malah, baru-baru ini juga, sedang kami berlatih, pengurusan lokasi boleh pula tiba-tiba minta kami beralih ke lokasi lain hanya kerana nak beri ruang itu kepada persatuan lain yang lebih ‘popular’ untuk berlatih di situ. Walhal, kami pun ada surat kelulusan,”katanya.

Menurut Amirul, adakalanya kerana enggan mewujudkan perbalahan, pihaknya terpaksa akur dan ‘mengaku kalah’, berundur, meskipun sedar terpaksa berdepan dengan kebuntuan mencari lokasi lain selain perlu memastikan perancangan untuk pementasan teater Dang Anum tidak terjejas.

“Beberapa kali terpaksa berpindah randah lokasi latihan termasuk kesukaran untuk mencari lokasi bagi mengadakan sidang media, situasi ini menyebabkan kami hingga pernah rasa berbelah bahagi, sama ada nak teruskan teater ini atau tidak.

“Tetapi, memandangkan kita sudah menguar-uarkan pementasan teater ini kepada umum, saya fikir tak apalah, kita teruskan meskipun sekarang berdepan dengan satu lagi masalah iaitu kewangan,”katanya.

Pengarah dan penerbit teater bangsawan Dang Anum, Amirul Haswendy

 

Mohon Motac buka mata

Jelas Penerbit dan Pengarah teater Dang Anum ini lagi,  bagi merealisasikan pementasan teater tersebut pada 14 dan 15 Oktober ini di Auditorium Bahagian Sektor Teknologi Pendidikan KPM, Bukit Kiara, pihaknya telah berusaha mendapatkan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Pun begitu, penantian untuk mendapatkan surat kelulusan bagi mendapatkan dana tersebut seakan begitu perit kerana sehingga kini masih belum kelihatan bayangnya.

“Sebagai persatuan kecil, dana kami tak banyak mana pun. Jadi tentulah kami berharap kepada Motac untuk menjalankan persembahan ini. Kami dapat kelulusan dari Motac, tetapi waktu itu cuma di ‘mulut’ sahaja. Maka, kami tunggu jugalah surat daripada mereka.

“Baru-baru ini, kami dapat khabar yang pihak Motac macam tak pasti pula nak berikan kelulusan dana kepada kami.Janganlah begitu. Kami dah berusaha gigih promosi guna duit sendiri dan ikut segala panduan yang Motac minta,”katanya.

Jelas Amirul, setakat ini, The Redholah telah membelanjakan sejumlah RM20,000 untuk tujuan mempromosi termasuk membayar pelakon, kru dan peralatan kelengkapan teater.

Namun, katanya, jumlah itu jauh masih belum mencukupi untuk menanggung kos pementasan yang secara keseluruhan berjumlah RM80,000.

“Untuk dana GSSK di bawah Motac itu, kami mohon sebanyak RM300,000. Tetapi, dalam keadaan sekarang, kita pun tak tahu berapa banyak dana yang boleh diluluskan. Sebab itu saya katakan, kami memang perlukan dana ini untuk bantu menampung kos lain.

“Ramai juga tanya, kenapa tak buat pementasan Dang Anum ini pada November atau Disember.Memandangkan kertas cadangan dikatakan lulus, kami kena jalankan juga sebab Motac kata dana akan diberikan secara separuh-separuh iaitu sebelum dan selepas persembahan dilakukan.

“Kita dah ikut semua yang diminta, tiba-tiba kata 50-50 pula sama ada nak beri atau tidak. Mana tak terkejutnya kami,”katanya.

Dalam pada itu, kata Amirul, meskipun berbaki beberapa hari lagi untuk pementasan teater ini dilakukan, pihaknya masih belum putus harapan untuk meneruskannya sambil memohon sokongan daripada pihak-pihak berkaitan.

Katanya, The Redholah dan seluruh produksi teater Dang Anum cuma mengharapkan agar mereka diberi layanan yang adil dan mendapat sokongan ramai.

“Lagipun, kami adalah satu-satunya persatuan seni dan budaya yang menekankan bahan kandungan Islamik. Sayang sekiranya kami yang membawa pendekatan seni lain dari lain ini tidak diberi perhatian serius.

“Kami cuma berharap, suara persatuan kecil seperti kami ini dapat didengari dan tidak terus dianaktiri. Menerusi persembahan ini, kami juga secara tak langsung memberi peluang pekerjaan kepada rakan-rakan artis dan aktivis teater apatah lagi setelah sekian lama susah raih pendapatan.

“Jadi kami harap pihak Motac dapat buka mata dan lihatlah usaha kami sebagai persatuan kecil ini yang sama-sama berhasrat menaikkan kembali industri teater tempatan,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN