KUALA LUMPUR : Penyanyi, Alyah, 42, menafikan dia telah mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap golongan peneroka ketika membuat sesi siaran langsung di platform Tiktok baru-baru ini.
Tegas Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hassan, dia hairan mengapa ada pihak tergamak memanipulasi kata-katanya sedangkan dia tidak menghina golongan peneroka.
“Semasa membuat sesi siaran langsung di Tiktok kelmarin, ada yang bertanyakan mengenai rumah tangga. Saya pun dengan ikhlas hati kongsilah serba sedikit perkara-perkara yang pernah saya lalui dan kesilapan yang pernah dibuat dengan niat supaya adik-adik, kawan-kawan jangan lakukan apa yang pernah saya lakukan.
“Itu saja niat saya. Dalam perkongsian itu rasanya tidak keterlaluan dan tidak mengaibkan sesiapa pun. Malah saya juga tidak terfikir perkara ini menjadi besar di media sosial. Hinggalah saya terbaca komen yang mengatakan saya berkahwin dengan Tokram kerana harta.
“Saya menjawab kepada soalan itu dengan nada melawak dan tak ada niat apa apa pun. Saya bukan tiba-tiba keluar dari pokok kelapa sawit, pokok getah. Saya langsung tidak menyebutkan atau berniat menghina para anak peneroka,”katanya.
Alyah berkata demikian semasa memuat naik penjelasan di akaun Instagramnya berhubung salah faham yang telah dicetuskan oleh beberapa portal dan blog di Internet.
Selain itu, jelas Alyah, pada awalnya dia tidak begitu mengambil pusing dengan laporan-laporan berita yang dikeluarkan namun mula timbul kerisauan apabila mula menerima banyak DM daripada anak-anak Felda di media sosial.
“Kenapalah saya nak menghina anak peneroka sedangkan mak saya anak peneroka. Maksud saya dalam perbualan live Tiktok kemarin, saya berkahwin dengan T okram disaat nama saya menjulang lagu Kisah Hati dan Sesal Separuh Nyawa.
“Bukan saya tiba-tiba keluar dari parit ke, hutan ke,kelapa sawit ke,pokok getah ke?Jadi bila headline portal-portal yang mengambil cerita ini, ia telah menjadikan perkara remeh menjadi besar,”katanya.
Dalam pada itu, kata Alyah, dia cukup faham kehidupan artis sememangnya sentiasa menjadi perhatian ramai namun dia bukanlah seorang selebriti yang gemar mahu tular di media sosial.
“Saya faham bila jadi artis ni macam-macam orang akan perhatikan. Dah masak sangat sebab dah 23 tahun dalam industri seni ini. Cuma saya mungkin masih baru untuk perkara-perkara macam ini yang sejenis nak cepat tular.
“Boleh hendak ceduk cerita tetapi buatlah elok-elok supaya tidak mendatangkan fitnah. Satu lagi, saya inimemang anak orang susah tapi Allah SWT rezekikan saya suara untuk saya mencari rezeki dan membantu keluarga.
“Jadi isu saya kahwin Tokram kerana harta itu memang sangat tidak benar dan saya percaya jodoh milik Allah SWT. Jodoh ini juga saya belajar banyak perkara-perkara baru untuk menjadikan saya lebih dewasa,”katanya.
Untuk rekod, Alyah dan Ramli mendirikan rumah tangga pada Mac 2013 dalam satu majlis kecil yang diadakan di Indonesia. Pasangan itu masih belum dikurniakan cahaya mata.