Maryam Younare, daripada pempengaruh ke layar perak - Utusan Malaysia

Maryam Younare, daripada pempengaruh ke layar perak

Maryam Younare.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA sebagai pempengaruh media sosial Durian Kimchi yang lucu dan bersahaja, siapa sangka nama Maryam Younare mula mencuri tumpuan rumah produksi.

Selepas terlibat dalam beberapa siri komedi televisyen, kini gadis asal Korea Selatan itu sudah bergelar pelakon filem menerusi naskhah Mat Tudung Begins.

Bertutur sepenuhnya dalam bahasa Melayu bukanlah masalah bagi wanita berumur 31 tahun itu.

Mana tidaknya, ramai pelakon senior sangat ramah dan terbuka memberikan tunjuk ajar kepadanya seperti Kazar Saisi, Achey dan pengarahnya, Datuk Fizz Fairuz sendiri.

“Saya tak pernah sangka akan ditawarkan berlakon filem. Jadi apabila Fizz memberikan saya peluang ini, saya terus terima. Walaupun penggambaran habis pukul lima pagi, saya tak kisah.

“Di dalam set, semua pelakon sangat baik. Mereka memberi cadangan apa yang perlu dilakukan untuk membuatkan watak saya lebih kelakar. Jadi, saya berasa sangat selesa bekerja di samping mereka.

“Memang impian saya untuk menjadi pelakon dan muncul di kaca televisyen. Sebelum ini saya mempunyai pengalaman berlakon sitkom dan drama.

“Namun berlakon filem tetap memerlukan kemahiran yang sama cuma lebih banyak ekspresi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Walaupun selalu tampil membawakan karakter lucu dalam naskhah bergenre komedi. Maryam berhasat untuk mencabar diri dengan membawa watak seorang ibu yang penuh emosi atau karakter seorang wanita antagonis.

“Saya suka belajar tentang lakonan. Saya seronok menjelmakan sesuatu karakter apalagi jika ia membuatkan orang ketawa. Itulah juga sebabnya mengapa Durian Kimchi dihasilkan.

“Selama ini orang seronok tengok saya berlakon komedi. Namun setelah saya bergelar ibu, saya teringin juga nak bawakan watak antagonis atau ibu-ibu yang membesarkan anak mereka,” katanya yang mempunyai tabiat untuk tidak menonton semula lakonannya di kaca televisyen.

IBU BELAJAR ISLAM

Perkongsian Maryam di laman sosial mengenai ibunya juga sempat mencuit perhatian warganet. Sepanjang dua minggu ibunya bercuti ke Malaysia, wanita itu menunjukkan rasa minatnya untuk mendalami agama Islam.

Maryam juga tidak ketinggalan untuk membawa ibunya mengunjungi masjid dan memakaikan telekung kepada wanita itu.

“Ibu saya memang belajar tentang Islam. Bila dia tengok saya pakai tudung, dia ada minta saya belikan sebab nak cuba-cuba pakai katanya.

“Begitu juga dengan telekung. Saya ada bawa dia menunaikan solat Subuh. Saya terkejut bila dia kata nak bawa balik telekung ke Korea sebab nak belajar solat.

“Kita doakan yang baik-baik dan bukan memaksa. Kita tunjukkan kepada orang bukan Islam bahawa agama kita ini agama yang baik,” katanya.

Melihat kepada sikap ramah dan mesra masyarakat Malaysia turut membuatkan hati wanita itu tersentuh sehingga mahu berpindah dari Korea Selatan.

“Kalau di Korea, orang di sana lebih selesa untuk luangkan masa bersama kawan-kawan. Tapi di Malaysia, saya bawa ibu ke Dataran Merdeka.

“Di sana ramai keluarga berkumpul. Ada juga peminat yang datang tegur saya membuatkan ibu rasa saya disayangi di Malaysia.

“Dia ada cakap nak pindah Malaysia. Saya sokong cuma saya kena kerja lebih keras,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN