Rain beri lampu hijau hadir ke AIFFA 2023 di Sarawak - Utusan Malaysia

Rain beri lampu hijau hadir ke AIFFA 2023 di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon popular dari Korea Selatan, Rain, menjadi artis antarabangsa pilihan yang akan mewarnai kegamatan Festival Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2023 yang akan diadakan di Kuching, Sarawak pada 4 Ogos ini.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pelancongan,Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang menyifatkan pemilihan Rain adalah bertepatan dengan kriteria artis yang ditetapkan.

“Selepas pertimbangan yang teliti, keputusan pengurusan AIFFA untuk menjemput Rain sebagai tetamu Khas AIFFA 2023 adalah berdasarkan bakat luar biasanya seperti yang ditunjukkan melalui Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang turut membantu menarik jutaan pengunjung ke Korea Selatan dan mewujudkan minat di peringkat global.

“Bakatnya yang luar biasa menjangkau industri muzik dan filem kerana dia seorang penyanyi, penulis lagu, pelakon dan penerbit muzik.

“Dia telah bekerja dalam filem di Korea Selatan dan juga untuk Hollywood. Rain juga terkenal dengan kerja-kerja sukarelawan termasuk menyusun banyak acara dan konsert untuk pelbagai tujuan amal,”katanya.

Selain itu, kata beliau, peluang juga dibuka kepada semua peminat Rain untuk bertemu dan beramah mesra dengannya pada 4 Ogos ini di Taman Old Courthouse jam 3.30 petang.

“Peminat juga dijemput memberi sokongan kepada artis kesayangan itu di Malam Gala AIFFA 2023.

“Tiket dijual melalui pautan Facebook FESTIVAL & AWARDS FILEM ANTARABANGSA ASEAN, laman web. Selain itu, tiket-tiket juga boleh didapati di gerai jualan AIFFA di Old Courthouse bermula dari 2 hingga 4 Ogos,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri tayangan perdana filem pembukaan AIFFA, Sumpahan Jerunei, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah AIFFA, Livan Tajang memaklumkan, festival tersebut juga bakal dimeriahkan dengan kehadiran ramai bintang dan pengarah filem ASEAN yang bersaing untuk anugerah AIFFA.

Katanya, acara itu juga terbuka kepada sesiapa yang berminat dengan industri perfileman dan kebanyakan aktiviti terbuka kepada orang ramai dan adalah percuma.

“Filem yang disenarai pendek akan diadili oleh juri AIFFA dari pelbagai negara yang kemudiannya akan berada di Kuching untuk memilih pemenang daripada kalangan calon.

“Sumpahan Jerunei merupakan filem pertama AIFFA sebagai sebuah karya yang memaparkan kandungan adat budaya kaum di Sarawak dan akan ditayangkan untuk perwakilan ASEAN pada malam pembukaan.

“ Produksi Seni Dua puluh Dua Puluh Sdn. Bhd yang diketuai oleh Datuk Nancie Foo dan Datin Dr. Wendy Wong serta beberapa pelakon dan kru turut hadir pada malam tayangan tersebut dan mereka termasuk Bront Palarae, Uqasha Senrose, Syafie Nawip, Ruminah Sidek, Yuyun Hikmah, Ali Mohamad, Tommy Black, dan Uncle Sil,”katanya.

Untuk info, AIFFA ialah pertandingan dwitahunan untuk pembikin filem dari 10 negara ASEAN dan diluluskan oleh Sekretariat ASEAN sebagai salah satu aktiviti bersama untuk kumpulan serantau.

Ia pertama kali dianjurkan pada 2013 dan kini dalam edisi keenamnya.

Acara ini diadakan di Kuching, Sarawak selama 3 hari dan dinilai oleh juri antarabangsa serta ASEAN. Ia menawarkan anugerah dalam 17 kategori meliputi semua aspek utama bidang kreatif dan teknikal pembikinan filem.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya