Artis generasi baharu boleh contohi Allahyarham Sudirman - Yassin - Utusan Malaysia

Artis generasi baharu boleh contohi Allahyarham Sudirman – Yassin

Yassin Yahya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Selepas sukses dengan penganjuran program mengenang Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, pelakon dan pelawak Yassin Yahya tampil pula dengan inisiatif terbaharu menerusi program Tribute Sudirman & Selebriti Hub 2023.

Program anjuran bersama Grandeur Event, Kamura dengan kerjasama Sudirman Asset Management akan berlangsung di Malakat Mall, Cyberjaya bermula Julai ini.

Menurut Yassin yang popular dengan kumpulan Senario, usaha itu dilakukan agar semua pihak terutama generasi muda tidak lupa bahawa negara pernah memiliki seorang biduan hebat dan serba boleh seperti Allahyarham Sudirman.

“Tentunya saya berbangga menjadi sebahagian daripada individu yang terbabit dalam usaha seperti ini. Bagi saya, kita perlu mengangkat nama penghibur pujaan rakyat Malaysia ini agar terus tidak dilupakan semua.

“Meskipun tidak pernah bertemu atau mengenali Allahyarham secara peribadi, namun sebagai penggiat seni generasi baru, saya kagum dengan kebolehan luar biasa Sudirman.

“Menerusi program seperti ini, saya anggap sebagai satu tanda penghormatan dan salah satu cara untuk mengenang jasanya pada industri seni tanah air,”katanya.

Tambah Yassin, Tribute Sudirman & Selebriti Hub 2023 akan membuka ruang untuk peminat hadir dan melihat pelbagai tarikan mengenai Sudirman termasuk pameran koleksi penyanyi legenda itu.

Selain itu, kata pelawak ini, dia juga mahu memupuk semangat keusahawanan di kalangan penggiat seni generasi baharu dan mengambil contoh daripada apa yang pernah dilakukan oleh Allahyarham Sudirman.

“Sudirman juga dikenali sebagai usahawan menerusi pengeluaran air tin minuman jenama ‘SUDI’ pada 1990.Menerusi program ini, saya berhasrat nak membantu rakan-rakan artis serta masyarakat berniaga dan mencari rezeki dalam bidang ini.

“Saya lihat Selebriti Hub yang dianjurkan sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.Sekitar 20 selebriti antaranya Zahid AF, Riezman, Beego dan Aril Pilus akan terbabit dalam jualan.

“Program ini turut mempromosikan usahawan kecil dan sederhana kepada pengunjung sepanjang bulan ini.

“Manakala program Tribute Sudirman pula akan diadakan pada 21 sehingga 23 Julai. Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan seperti Kelas Asas Lawak oleh saya sendiri, Pertandingan Karaoke & Tiru Gaya Lagenda Allahyarham Sudirman dan banyak lagi,” katanya.

Pameran ini juga turut menjual cenderahati keluaran Kamura dan beberapa peratus hasil akan disumbangkan kepada Sudirman Asset Management.

Dalam perkembangan berkaitan, penganjuran Hari Rock Negara juga akan diadakan.

Menerusi program ini, pengunjung dapat menikmati persembahan dari beberapa kumpulan rock otai antaranya kumpulan Sons of Adam, Bloodshed dan Belantara.

Turut diadakan ialah pertandingan Battle Of The Bands yang dianjurkan dengan kerjasama Alfarabiband.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN