Penerbit mahu angkat kucing sebagai ‘hero’ filem - Utusan Malaysia

Penerbit mahu angkat kucing sebagai ‘hero’ filem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Art Ornament Sdn Bhd, bakal menghasilkan sebuah filem bertemakan haiwan kesayangan dengan mengangkat kucing sebagai ‘hero’ dalam sebuah naskhah yang akan memulakan penggambarannya pada November ini.

Menurut Penerbitnya, Aida Othman, hasrat itu tercetus selepas terinspirasi dengan lambakan isu semasa berkaitan penganiayaan terhadap haiwan tersebut yang banyak dikongsikan oleh orang ramai di media sosial.

“Saya terpanggil untuk hasilkan sebuah filem berkaitan dengan kucing sambil menjalankan kempen kesedaran mengenai haiwan kesayangan ramai tersebut. Kita lihat begitu banyak isu penganiayaan kucing berlaku sejak kebelakangan ini dan bagi golongan pencinta kucing seperti saya, ia merupakan satu perkara yang amat menyedihkan dan menimbulkan kekesalan.

“Justeru, menerusi saya percaya, menerusi penghasilan filem, ia adalah satu medium terbaik untuk menerapkan pemahaman yang berkesan kepada masyarakat tentang isu ini.

“Tetapi saya faham, dari sudut perfileman, naskhah yang diterbitkan itu perlulah ada nilai komersial supaya ia jadi lebih menarik dan dapat ditonton seisi keluarga tanpa mengira usia,”katanya.

Bagaimanapun, menurut Aida, pihaknya tidak menolak bahawa untuk menghasilkan sebuah naskhah sebegitu ia memerlukan sejumlah dana yang besar.

Berikutan itu, Art Ornament percaya bahawa penglibatan dan sokongan daripada semua pencinta kucing di seluruh negara amat diperlukan bagi merealisasikan usaha ini.

“Kami mahu semua pencinta kucing sertai kempen dan usaha murni kami untuk terbitkan filem ini. Kami mengalu-alukan sumbangan berbentuk dana kewangan, cuma RM1 seorang untuk kami realisasikan pembikinan filem ini yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM2.3 juta.

“Bagaimanapun, sasaran kami adalah sebanyak RM2.5 juta kerana sebahagian daripada hasil kutipan dana itu nanti akan disalurkan juga kepada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) dan badan amal, tidak kira untuk membantu keperluan haiwan kesayangan mahupun bagi membantu individu yang dalam kesusahan.

“Ini kerana, hasrat kami sejak menubuhkan produksi ini 12 tahun lalu, selain mahu bersama-sama menggerakkan industri perfileman dan drama tempatan, kami juga meletakkan misi untuk berbakti dan membantu mana-mana pihak yang memerlukan,”katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai perancangan untuk menghasilkan filem tersebut, jelas Aida, sebanyak 70 peratus daripada naskhah filem genre aksi itu akan melibatkan kucing.

“Filem ini memang berisiko besar sebab perlu buat persediaan yang rapi dan kena betul-betul faham apa yang penonton mahukan. Di Malaysia ini, penonton kita nak hiburan, tak nak cerita yang berat.

“Jadi kena ada juga elemen komersial itu. Bagaimanapun orang kita suka tonton cerita aksi. Saya percaya dan yakin filem yang bakal kami hasilkan ini dapat menarik ramai penonton dan tidak mustahil mampu mencipta fenomena,”katanya.

Dalam pada itu, kongsi Aida lagi, perancangan untuk filem ini juga telah melibatkan beberapa usahasama Art Ornament bersama NGO seperti Anugerah Mahligai Arah Nasib Abadi Haiwan (AMANAH), Persatuan Suara Haiwan Malaysia, Bigshot Entertainment dan Adverthype.

Selain itu, kata Aida, satu laman sesawang juga akan diwujudkan oleh pihak Art Ornament bagi tujuan kemudahan akses pengguna yang mahu membuat sumbangan dana untuk projek filem ini.

“Kami mahu mengelak daripada sebarang dakwaan negatif, maklum sajalah, bila berkaitan dengan kewangan ini dibimbangi wujud tuduhan tidak betul contohnya penyelewengan.

“Jadi, menerusi laman sesawang itu nanti kami akan paparkan secara telus jumlah kutipan setiap hari dan terkini yang boleh dilihat oleh pengguna dan penyumbang dana,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya