Raysha Rizrose sah bergelar isteri pelumba kereta F3 - Utusan Malaysia

Raysha Rizrose sah bergelar isteri pelumba kereta F3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas dua bulan mengikat tali pertunangan, pelakon, Raysha Rizrose, 26, akhirnya sah bergelar isteri kepada usahawan dan pelumba kereta Formula 3 (F3), Nabil Jeffri, 29, pada majlis pernikahan yang berlangsung pukul 8.52 malam tadi.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Mohd Fariz Arshad, dengan disaksikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi, pada majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka, di sini.

Pada majlis yang dihadiri sekitar 200 tetamu itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM2,222 bersama tujuh dulang hantaran, berbalas jumlah sama.

Bagaimanapun, jumlah wang hantaran tidak dinyatakan atas permintaan keluarga.

Menggayakan persalinan rona putih rekaan Teh Firdaus dan ditatarias Syed Faizal Syed Noh, Raysha atau nama lengkapnya, Farza Naquraisha Mohd Fariz, bersyukur segala perancangan diatur berjalan lancar.

“Syukur, segala yang dirancang salama ini dipermudahkan. Saya dengan kerendahan hati amat terharu kerana sejak mengumumkan berita pertunangan, banyak mesej dan doa yang baik-baik dipanjangkan ramai.

“Saya doakan kebaikan sama berbalik kepada semua. Semoga permulaan fasa baharu membina masjid ini akan terus mematangkan saya dan suami, insya-Allah,” katanya.

Adik pelakon Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose itu memaklumkan, dia dan suaminya berkenalan sejak 10 tahun lalu.

“Kami kenal dari 2013 menerusi Twitter dan ketika itu, saya masih menuntut di sekolah menengah.

“Biasalah dalam tempoh sedekad itu, hubungan kami ada turun naik. Tetapi, kami banyak bertolak ansur. Kepercayaan dan komunikasi menjadi teras kepada hubungan kami,” katanya.

Pelakon filem Seandainya Kau Ada itu memberitahu, dia dilamar Nabil pada 16 Ogos lalu, seterusnya bertunang pada 22 Disember.

“Momen itu masih berbekas di hati. Ini kerana lokasi lamaran iaitu di Subang Jaya, Selangor sama ketika dia meluahkan isi hatinya terhadap saya, sedekad lalu,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai bulan madu, pelakon itu mengakui, dia dan Nabil belum membuat sebarang perancangan.

“Masih banyak komitmen dan kerja yang saya kena selesaikan selepas kahwin. Malah, sebelum majlis nikah, saya terikat dengan penggambaran beberapa kempen dan projek.

“Buat masa ini, memang belum ada perancangan berbulan madu lagi. Soal anak pula, baik saya dan suami menyerahkan kepada Allah SWT. Bagi kami, insya-Allah ada rezeki, ia akan datang tepat pada waktunya.

“Cuma, selepas kahwin, saya perlu lebih selektif memilih watak. Saya sudah berubah status, jadi keutamaan tentunya lebih kepada suami,” katanya.

Sementara itu, Nabil Jeffri menganggap Raysha sebagai wanita yang banyak menyuntik semangat buat dirinya.

“Dia sentiasa ada ketika saya memerlukannya. Di saat saya berada di bawah dan sedih, dia tidak pernah berpaling.

“Kebijaksanaannya juga menambat hati. Dia seorang yang memahami dan matang. Malah, kualiti lain yang mencuri perhatian saya ialah dia memang pandai membawa diri, sentiasa santun dan menghormati orang.

“Tentunya, dia sangat comel dan itu yang buat saya jatuh hati dengannya. Dia juga jujur dan ikhlas dalam setiap apa dilakukan,” katanya.

Tambah jejaka ini lagi, Raysha juga selama ini begitu memahami jadual dan tuntutan kerjanya.

“Ada ketika, saya perlu berada di luar negara kerana urusan kerja, tetapi dia begitu dekat dengan diri dan sentiasa menyokong dari jauh.

“Syukur, jodoh dan cinta kami mekar serta erat hingga ke saat ini. Moga hubungan ini kekal ke jannah,” katanya.

Pasangan ini melangsungkan pertunangan secara tertutup pada 22 Disember lalu, namun hanya berkongsi cerita pertunangan mereka di media sosial pada 14 Februari lalu.

Pasangan itu akan diraikan dalam majlis resepsi pada 26 Februari ini, di lokasi sama dengan pernikahan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.