Mechamato animasi luar pertama menang Anugerah Peminat Anime di Tokyo - Utusan Malaysia

Mechamato animasi luar pertama menang Anugerah Peminat Anime di Tokyo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siri animasi Monsta, Mechamato berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa apabila diangkat sebagai karya luar negara yang memenangi Anugerah Peminat Anime sempena Festival Anugerah Anime 2023 di Tokyo, Jepun.

Kemenangan tersebut juga menyaksikan Mechamato berada sebaris dengan karya popular lain seperti Idolish Seven (2022, 2021), Uta no Prince-sama (2020), Yuri!!! on ICE (2018, 2017) yang pernah meraih anugerah sama.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak, kemenangan itu merupakan kebanggaan buat pengkarya tempatan yang menyaksikan siri Mechamato berada di tempat pertama dengan lebih 40,000 undian diraih dari dalam dan luar Jepun.

“Mechamato merupakan satu daripada Anime of The Year yang telah bertanding dengan siri dan filem animasi terkemuka lain dari Jepun dalam festival tersebut. Sejak dipertandingkan bermula 2014, ini kali pertama karya tempatan memenangi anugerah untuk kategori itu.

“Terima kasih kepada semua yang mengundi Mechamato dan sangat teruja dengan anugerah tersebut kerana semua tahu, Jepun adalah negara yang terkenal dengan industri animasi.

“Ia permulaan yang baik untuk Mechamato di pasaran Jepun dan antarabangsa. Monsta yakin Mechamato akan dapat memikat hati penonton Jepun, terutama kanak-kanak kerana konsepnya yang unik dan ceritanya penuh dengan nilai murni,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Nizam lagi, pihaknya juga yakin, kemenangan tersebut mampu menyuntik semangat buat pengkarya tempatan lain untuk bersama-sama menghasilkan animasi berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Populariti siri animasi dari Malaysia itu melonjak naik apabila ia disiarkan di platform Cartoon Network Jepun pada Mac 2022 dan Netflix di negara itu pada Oktober 2022.

Selain Anugerah Peminat Anime yang dimenangi siri Mechamato, kategori Filem Terbaik pula dimenangi One Piece Film: Red (2022), manakala Siri Animasi Terbaik menjadi milik Spy x Family (2022).

Siri Mechamato kini ditayangkan di lebih 70 negara termasuk Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan India.

Mechamato Movie yang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 8 Disember 2022 meraih kutipan lebih RM36 juta dan masih lagi ditayangkan di pawagam tempatan untuk minggu yang ke-10.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya