Istana Budaya ditutup tiga tahun, aktiviti pementasan diteruskan di lokasi luar terpilih - Utusan Malaysia

Istana Budaya ditutup tiga tahun, aktiviti pementasan diteruskan di lokasi luar terpilih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bagi memfokuskan kerja-kerja pengubahsuaian, penyelenggaraan bumbung serta fasiliti lain, Istana Budaya (IB) terpaksa ditutup untuk tempoh tiga tahun bermula Jun ini.

Menurut Ketua Pengarah IB, Zubaidah Mukhtar, penutupan IB selama 36 bulan itu dilakukan memandangkan sejak mula beroperasi 24 tahun lalu, tiada kerja penyelenggaraan dibuat pada bahagian bumbung bangunan tersebut.

“Pada masa sama, kami juga melakukan penambahbaikan kemudahan di IB dan proses ubah suai dibuat untuk tujuan keselamatan pengunjung kelak.

“Berikutan itu, kami terpaksa menutup IB untuk tempoh 36 bulan bagi memberi laluan kerja-kerja penyelenggaraan dibuat.

“Bagaimanapun, ketika ini belum ada tarikh khusus bila proses ubah suai akan bermula kerana kami perlu mendapat penjelasan mengenai gerak kerja daripada Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya dalam satu keterangan, hari ini.

Bagaimanapun, tambah Zubaidah lagi, kegiatan seni dan pementasan tetap dijalankan dan IB akan melakukan persembahan bergerak di lokasi luar.

“Sehingga Mei depan, kami sudah sediakan 10 program untuk dipentaskan. Namun, selepas Jun, semua aktiviti yang mempunyai kaitan dengan IB akan dipentaskan di lokasi luar terpilih di seluruh negara,” katanya.

Antara program yang bakal membuka tirai Panggung Sari adalah konsert anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Konsert Diraja, Konsert Sanam Band, Malam Gala Filem Imam dan konsert klasik menampilkan pemain biola Itali, Domenico Nordio.

Selain itu pementasan teater tradisional Mak Yong (Anak Raja Gondang) dan Flourishes 23: Seri Puteri Symphonic Winds Royal Concert.

Zubaidah berkata, selepas Mei, melalui kempen Gerak, IB akan menganjurkan program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia: Sounds of Malaysia; siri jelajah IB Sulur Nakasari; Orkestra Simfoni Kebangsaan Siri Lambang Sari 2023; IB In The Park; Konsert Mega Kembara Muzik Tradisional dan Echoes of Bronze, ASEAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya