Bukan tiru, cuma ambil inspirasi persembahan James Corden - Meer Nash - Utusan Malaysia

Bukan tiru, cuma ambil inspirasi persembahan James Corden – Meer Nash

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Meer Nash, 27, menafikan dia meniru idea artis antarabangsa, James Corden apabila membuat persembahan di ‘crosswalk’ lampu isyarat di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) untuk memperkenalkan single terbarunya, Kajima.

Sebaliknya, Meer Nash atau nama sebenarnya, Muhamad Shahmeer Mohd. Nashrul berkata, dia hanya mengambil sedikit inspirasi daripada persembahan James tersebut bagi menyuntik kelainan untuk memperkenalkan lagu tersebut.

“Bagi saya, tidak salah jika kita jadikan konsep persembahan artis lain sebagai inspirasi. Ia tidak bermaksud meniru. Tidak dinafikan, konsep persembahan Kajima itu diinspirasikan daripada James.

“Saya cuba mempelbagaikan idea dari segi mempromosikan lagu, selain menunjukkan kepada industri banyak lagi cara boleh dibuat untuk membuat khalayak sedar kemunculan sesuatu produk seni.

“Saya tampilkan idea di luar kotak dengan membuat persembahan di ‘crosswalk’ lampu isyarat. Secara tidak langsung, saya dapat menghiburkan mereka yang sedang menunggu lampu hijau. Bagi saya, idea ini sesuatu yang segar kerana belum pernah dibuat penyanyi tempatan lain,” katanya.

Meer Nash berkata, dia juga tidak menyangka persembahan yang dilakukan bersama personaliti terkenal, Azwan Ali itu tular di media sosial.

“Saya buat persembahan Kajima ‘crosswalk’ sebagai satu bentuk promosi lagu, pada masa sama mengharapkan ia akan tular. Disebabkan itu, pasukan memilih Azwan Ali dan tidak sangka, usaha kami itu betul-betul menjadi.

“Persembahan ini tidak lama kerana saya hanya menyanyi bahagian korus disebabkan ia lebih ‘catchy’. Biar ia mudah menangkap hati pendengar,” katanya.

Mengenai lagu Kajima, Meer Nash berkata, ia ditujukan kepada bekas kekasihnya yang
pernah membuatkan dia susah untuk ‘move on’ selama dua tahun.

“Ini lagu ‘paling gelap’ yang saya tulis dan rakamkan setakat ini. Untuk lagu ini, saya tampilkan sedikit elemen daripada filem seram Indonesia, KKN Di Desa Penari, rap dan puisi kanak-kanak.

“Turut diketengahkan elemen tarian Korea seolah-olah saya melepaskan kemarahan. Apabila lagu ini siap ditulis, ia bermaksud saya sudah berjaya ‘move on’,” katanya.

Sementara itu, untuk video muzik (MV) lagu tersebut yang disiarkan menerusi saluran YouTube Universal Music Malaysia, Meer Nash berkata, dia memainkan beberapa watak untuk menggambarkan jalan cerita yang telah disusun.

“Saya muncul dengan beberapa watak yang memerlukan saya menukar lima persalinan dan penggambaran mengambil masa 18 jam. Saya juga berdepan kecederaan, tetapi
penggambaran tetap diteruskan.

“Produksi ini mempunyai set dan ‘mood’ yang berbeza. Bahagian yang paling saya suka dalam MV ini adalah ketika babak bomoh yang menggambarkan simbolik pergerakan saya seperti dikawal,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.