Aura luar biasa AR Rahman - Utusan Malaysia

Aura luar biasa AR Rahman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POPULARITI komposer dan penyanyi dari India, AR Rahman, 56, kekal utuh apabila 60,000 peminat hadir ke konsert AR Rahman – Secret of Success – Live in Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.

Tidak dinafikan, pengaruh pemuzik kelahiran Tamil Nadu, India itu besar membuatkan bukan sahaja rakyat Malaysia, malah negara luar juga berpusu-pusu hadir menyaksikan konsert mega tersebut.

Pengaruh yang dimiliki Rahman tidak tercipta sekelip mata. Sebaliknya, ia terbina hasil pengalaman dan pencapaian yang dikutip selama lebih tiga dekad sebagai penggiat seni bertaraf antarabangsa.

Ketika kecil, Rahman tidak seperti kebanyakan kanak-kanak hari ini yang dibesarkan dengan kesenangan.

Hilang kasih sayang seorang bapa sejak usia sembilan tahun, penyanyi ini mengambil alih tanggungjawab menolong ibu dan membesarkan adik beradiknya. Malah, mereka hidup dalam kemiskinan dan kedaifan.

Rahman atau nama sebenarnya, Allah Rakha Rahman menyimpan minat mendalam terhadap alat muzik elektronik dan mengikut jejak langkah ayahnya sebagai pemain keyboard.

Pada awal kemunculannya, bapa kepada tiga anak ini berpeluang bekerjasama dengan pemuzik terkenal seperti Illaya Raja dan Raj Koti.

Beliau menerima upah pertama sebanyak 50 Rupee (RM2.50) hasil pendapatan mengendalikan perakam suara.

Rahman memulakan kerjaya nyanyiannya bersama kumpulan Roots antara 1948 sehingga 1988 sebelum menyertai sebuah kumpulan Rock bernama Nemesis Avenue.

Beliau menghasilkan banyak lagu untuk kumpulan tersebut dan sering membuat persembahan di konsert Jive Live. Pada 1987, Rahman mula menghasilkan lagu latar untuk iklan dan telah mencipta 300 lagu dalam tempoh lima tahun.

Pertemuan dengan pengarah tersohor, Mani Ratnam pada 1991 membuka jalan kepada Rahman untuk menghasil lagu latar filem. Populariti Rahman memuncak sekelip mata selepas mencipta lagu latar filem (OST) pertamanya untuk filem Roja pada 1992.

Rahman pernah dikategorikan sebagai artis rakaman paling laku pada 2004 selepas berjaya menjual 200 juta salinan kaset dan 150 juta salinan OST.

Pengiktirafan pada Anugerah Oscar menjadi antara kemuncak kejayaan Rahman sepanjang bergelar anak seni.

Menerusi OST filem Slumdog Millionaire berjudul Jai Ho, Rahman merangkul anugerah Lagu Asal Terbaik pada 2009.

Semua pencapaian selama 30 tahun yang dikecapi pemuzik hebat ini didedikasikan menerusi konsert AR Rahman – Secret of Success – Live in Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kehadiran lautan manusia membajiri stadium tersebut pada malam itu membuktikan Rahman bukan pemuzik biasa.

Bahkan, beberapa penyanyi tersohor antarabangsa seperti Selena Gomez dan Taylor Swift turut menyuarakan keinginan mereka untuk bekerjasama dengan pemuzik bertaraf legenda berkenaan.

Namun, menjadi kebanggaan rakyat Malaysia apabila peluang yang diimpikan ramai artis ternama itu akhirnya dimiliki penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang memukau ribuan penonton menerusi persembahan lagu Munbe Vaa.

Peristiwa tersebut membuatkan peminat teruja dan berharap agar dua figura ikonik ini disatukan dalam projek kolaborasi pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.