AJL37: Tema awan, Aina Abdul berhabis RM90,000 - Utusan Malaysia

AJL37: Tema awan, Aina Abdul berhabis RM90,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang juga pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37), Aina Abdul, mendedahkan, dia sanggup melabur RM90,000 demi memastikan persembahannya, termasuk busana yang digayakan pada malam kemuncak memukau penonton.

Menurut Aina, dia mahu memberikan sesuatu yang berbaloi dengan dibantu 30 kru untuk merealisasikan set persembahan berbentuk awan pada acara tersebut.

“Untuk kali ini, memang saya berhabis banyak. Tak tahulah nak cakap, naluri hati berasakan lagu Terus Hidup ini begitu istimewa. Jadi, saya berbelanja agak besar untuk persiapan AJL37.

“Pada satu tahap dalam kerjaya, saya tahu, kalau mahu hasil yang berbaloi, saya kena sanggup melabur.

“Bukan hanya untuk diri, tetapi juga keluarga Aina Abdul Entertainment. Semangat ini yang saya bawa ke pentas final,” katanya.

Aina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media AJL37 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

Ditanya mengenai tema yang dipilih, kongsi Aina, ia signifikan dengan pengalamannya pada tahun lalu yang berpeluang ke pelbagai destinasi atas urusan kerja.

“Secara tidak langsung, saya banyak ‘me time’ semasa dalam pesawat. Ada penerbangan yang kita jalani lancar dan ada yang bergelora. Setiap kali berada di tempat duduk sebelah tingkap, saya dapat lihat pemandangan awan yang indah.

“Saya fikir, apa salahnya masukkan awan sebagai tema persembahan kali ini. Satu lagi, saya juga mendedikasikan persembahan ini buat Allahyarham bapa yang meninggal dunia, tiga tahun lalu. Dia saya umpamakan seperti awan,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya perasaannya menewaskan penyanyi senior seperti Dayang Nurfaizah, Marsha Milan dan Ernie Zakri bagi kategori Vokal Terbaik, Aina berkata, itu bukan bermakna dirinya hebat.

Menganggap ia sebagai rezeki, Aina berkata, dia sentiasa melihat nama tersebut sebagai idola dan kemenangan yang diraih sebagai kurniaan daripada Allah SWT.

“Saya tidak berani katakan telah mengalahkan nama besar dalam industri. Mereka hadir dalam industri lebih dahulu daripada saya, jadi tentunya saya banyak belajar daripada persembahan mereka.

“Saya tetap merupakan antara peminat mereka. Tiada istilah saya kalahkan mereka, ini rezeki Allah,” katanya.

Menewaskan 11 lagu lain, Terus Hidup ciptaan dan nyanyian Aina Abdul membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi apabila merangkul gelaran juara.

Aina Abdul turut memenangi Vokal Terbaik dan menerima hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya