Penganjur konsert Padi Reborn 25 Tahun tunai janji - Utusan Malaysia

Penganjur konsert Padi Reborn 25 Tahun tunai janji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penganjur konsert kumpulan Padi Reborn, Qew Communication Sdn. Bhd, mengotakan janji mereka apabila menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada badan amal, Pertubuhan Kebajikan Niq Ehsan Malaysia (PKNEM), pagi tadi.

Menurut Pengarah Perkhidmatan Korporatnya, Datin Nor Rahizahwati Yahya, sumbangan itu adalah hasil kejayaan daripada penjualan tiket konsert tersebut yang berlangsung pada 3 Disember lalu di Zepp Kuala Lumpur.

“Seperti yang kami maklumkan sebelum ini, sebahagian daripada hasil jualan tiket konsert tersebut akan disalurkan kepada mana-mana badan amal.

“Kami juga maklumkan, setiap RM1 daripada jualan tiket akan disalurkan kepada badan kebajikan terpilih. Selain itu, pihak kami turut menambah sedikit wang untuk usaha tersebut.

“Kami memilih PKNEM sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka memberi khidmat bantuan dan pembangunan buat insan yang memerlukan di seluruh negara,” katanya.

Rahizahwati berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan cek yang turut dihadiri Penaung PKNEM, Datuk Khadijah Ibrahim dan Pengerusi, Akhmarulizam Ahmad serta Timbalan Pengerusi, Ikhzal Azfarel Ideris.

Selain itu, kata Rahizahwati, Qew Communication juga berhasrat meneruskan aktiviti itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial dalam membantu meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik.

“Kami melihat ia sebagai usaha yang murni. Kami juga merancang untuk mengambil pendekatan yang sama menerusi penganjuran mana-mana konsert selepas ini.

“Usaha itu secara tidak langsung memberi peluang kepada yang peminat untuk sama-sama menyumbang sambil berhibur.

“Dari segi pengagihan sumbangan, mungkin kami akan pilih untuk bekerjasama dengan pertubuhan lain pula,” katanya.

Rahizahwati juga berkata, Qew Communication sedang merangka penganjuran konsert membabitkan sebuah kumpulan popular tanah air yang dijangka diadakan selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya