‘Kalaulah ada satu hari lagi untuk peluk Nyet’ - Utusan Malaysia

‘Kalaulah ada satu hari lagi untuk peluk Nyet’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sehari sebelum berangkat pulang ke tanah air, pelakon, Raja Ilya, yang menetap di Australia menerima berita duka apabila kucing kesayangannya yang diberi nama Nyet mati.

Perkara tersebut dikongsikan pelakon berusia 37 tahun itu di Instagram yang mengakui, terlalu bersedih dengan kehilangan kucing kesayangannya itu.

“Hanya pencinta kucing yang benar-benar memahami. Selama 13 tahun, setiap masa bersama Nyet seakan tidak cukup. Tiga tahun saya menunggu untuk bertemu dengannya kerana sebelum ini hanya dapat melihatnya menerusi panggilan video bersama keluarga.

“Namun, sehari sebelum pulang ke Malaysia, cuma sehari sahaja… Kalaulah saya ada satu hari lagi untuk memeluk Nyet dan berkata ‘saya sudah pulang’…,” luah Ilya.

Jelas Ilya, kucing jantan yang dipeliharanya itu sangat manja, selain sentiasa tenang dan ceria.

“Masih saya ingat, selepas didiagnos dengan penyakit Feline Infectious Peritonitis atau FIP, enam tahun lalu, ia tidak menunjukkan sebarang kesakitan.

“Nyet kucing yang sangat kuat semangat. Dia memberikan saya kegembiraan dan keceriaan. Kalaulah tiada pandemik, tentu saya tidak perlu mengucapkan selamat tinggal sebegini cepat kepada Nyet,” katanya.

Pelakon Soulmate Hingga Jannah dan KL Vampire itu berkata, dia bagaikan tidak percaya kucing kesayangannya itu sudah tiada.

“Saya tidak dapat bayangkan pulang ke rumah tanpa menatap Nyet yang selama ini begitu setia menunggu di pintu. Hancur perasaan ini. Ternyata, 2023 ini menyuntik pelbagai emosi buat saya.

“Nyet tahu saya sedang bersedih dan pasti ia akan menangis kalau lihat saya menangis,” katanya.

Ilya pulang ke tanah air pada dua hari lalu bersama suami, Trent Garret dan anak sulung mereka, Talita Love Garret yang kini berusia enam bulan.

Ilya dan Garret melangsungkan perkahwinan di Perth, Australia pada 23 Disember 2018. Selepas bernikah, Ilya membuat keputusan untuk menetap di negara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya