Filem Syaitan Munafik dihasilkan semula selepas 12 tahun - Utusan Malaysia

Filem Syaitan Munafik dihasilkan semula selepas 12 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengarah Urusan United Nine Creative, Datuk Mohd Rosdi Shair, yakin penambahbaikan yang dilakukan untuk sebuah filem lama berjudul Syaitan Munafik, mampu memberi daya tarikan buat penonton era baharu.

Katanya, karya berusia 12 tahun tersebut telah digilap semula menerusi sentuhan penerbit kreatif, MP Roslin Md Sharif namun masih mengekalkan jalan cerita sedia ada.

“Saya berpuas hati dengan kerja-kerja penstrukturan filem ini yang dibuat dengan sangat baik dengan tambahan babak baru tetapi tetap mengekalkan jalan cerita yang ada.

“Bagaimanapun, ada olahan dibuat juga bagi menjadikannya lebih mantap dan senang difahami oleh penonton. Malah penggunaan teknologi-teknologi terkini juga dapat menyuntik rasa keyakinan buat peminat filem seram,” katanya.

Selain itu, kata Rosdi, asalnya, filem arahan Majed Salleh ini turut melibatkan Allahyarham pelakon Ashraf Sinclair selain Faizal Hussein, Raja Farah dan Ruminah Sidek.

“Pun begitu, industri seni dikejutkan dengan berita kematian Ashraf pada Februari 2020. Tetapi perancangan untuk filem ini menemui penonton di dua negara tetap diteruskan.Filem Syaitan Munafik ini juga diubaisuai menerusi babak tambahan lakonan Kazar Saisi.

“Ia menerusi teknik rekaan dimana pihak produksi telah menghasilkan sudut penyuntingan menggunakan teknik ‘fast cut’ dan menambahbaik warna (colour grading) mengikut definisi tinggi.

“Memang filem ini dah lama tapi kami ‘convert’ dia agar berwajah baru dan tidak dinafikan, ia memakan modal yang tinggi. Selain itu,kami turut memasukkan dolby surrounding, stereo dan kesan khas yang terkini untuk memantapkan kualiti bunyi,”katanya.

Sementara itu, Rosdi juga memaklumkan, pihaknya telah berkunjung ke Jakarta, Indonesia bagi berbincang dengan beberapa pihak pengedar dalam usaha membawa filem ini ke sana pada 6 Disember lalu.

“Tidak lama selepas pulang ke tanah air, saya mendapat berita Jakarta Sinema sebagai pengedar telah bersedia untuk menayangkan filem ini di 60 pawagam dan mungkin lebih lagi.

“Kami juga telah bersetuju dengan gandingan pengedar dan rakan-rakan promosi kedua-dua negara untuk menganjurkan Malam Gala Premier filem ini yang akan diadakan di bangunan Pusat perfileman H Usmar Ismail, Kuningan Jakarta,” katanya.

Rosdi berkata, mengikut perancangan, seramai 400 tetamu jemputan bersama rakan-rakan artis termasuk media Malaysia dan Indonesia akan turut serta pada hari bersejarah yang dijadualkan pada 12 Mei itu.

“Bagi edaran di Malaysia pula, kami bersedia untuk masuk ke 70 buah panggung di seluruh negara,” katanya.

Filem genre seram dengan modal RM1.7 juta ini dihasilkan sejak 2008 dan menampilkan dua pelakon Indonesia iaitu Dea Lestari dan Tessa Mariska.

Manakala barisan pelakon tanah air yang terlibat ialah, Dian P Ramlee, Airis Yasmin, S Samsudin, Chik, Nabil Ahmad, Yank Kassim, Datuk Jalaluddin Hassan, Latif Borgiba, Fatimah Yahya dan Zila Bakarin.

Tidak ketinggalan membintangi filem ini ialah Ramly Saleh, Munir, Linda Hashim, Nadia, A Galak, Fathil Dani, S Azli, Maidin,Mak Jah dan Erry Putra.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya