Sambut ambang 2023 bersama Zainal Abidin di The Bee - Utusan Malaysia

Sambut ambang 2023 bersama Zainal Abidin di The Bee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Musim 2022 bakal ditutup penyanyi legenda, Datuk Zainal Abidin dengan momen terindah bersama peminat menerusi persembahan istimewa sempena malam ambang tahun baru, Sabtu ini. 

Penyanyi lagu Hijau itu bakal menjayakan persembahan Zainal Abidin NYE Special di The Bee, Publika, Kuala Lumpur bermula pukul 8 malam, menyaksikan ikon industri tersebut kembali beraksi di ruang yang lebih mesra dan dekat dengan peminat. 

Dikenali sebagai penghibur yang amat mementingkan kualiti, persembahannya itu bakal diiringi pemuzik hebat terdiri daripada Mac Chew (keyboard), Lewis Pragasam (dram), Steve Thornton (gendang dan percussion), Daniel Foong (bass) dan Sham Kamikaze (gitar).

“Mereka bukan calang-calang pemuzik dan pada saya, adalah di antara yang terbaik di negara ini. Umum mengetahui, nama ini sering diburu produser atau artis luar negara yang memerlukan khidmat dan ilmu muzik mereka. 

“Kami telah lama membuat persembahan bersama-sama, malah mereka memahami muzik dan cara saya di atas pentas. Saya bersyukur diberikan peluang sekali lagi untuk berkongsi pentas di The Bee.

“Pada masa sama, dapat menghiburkan peminat yang sudah lama tidak menyaksikan kami beraksi bersama-sama”, jelas Zainal. 

Dengan senarai lagu yang begitu banyak, bermula ketika bersama kumpulan pop-synth 1980-an, Headwind, pasti sukar untuk Zainal memilih senarai repertoire lagu bagi setiap persembahannya. 

Namun katanya, kebiasaannya proses pemilihan lagu dibuat secara kolaboratif dengan anggota band. 

“Selain Hijau yang menjadi lagu wajib untuk setiap persembahan, kami perlu memahami tujuan peminat dan tetamu hadir ke sesuatu acara. Di sini, pentingnya pengalaman dan kami harus mempunyai elemen fleksibiliti untuk memastikan kejayaan setiap konsert. Justeru, audiens turut terhibur dan pulang bersama memori indah,” katanya.

Tambah Zainal, persembahan pada ambang tahun baru itu sedikit berbeza atas faktor intimasi dan menjadikannya lebih bersifat peribadi. 

“Saya pernah membuat persembahan tahun baru di hadapan ribuan penonton sama ada di stadium atau dataran acara yang luas. 

“Dalam situasi ini, jika sebarang kesilapan terjadi, ia mungkin tidak disedari penonton. Lain pula jika konsert diadakan di ruang yang lebih tertutup dengan kehadiran eksklusif peminat dan penonton yang dikawal jumlahnya.

“Tiada sebarang ruang untuk kami membuat kesilapan kerana ia pasti disedari. Atas sebab itu, persembahan ini begitu istimewa untuk saya,” katanya.

Harga tiket umum bermula dari RM83.00 dan pakej kumpulan bermula dari harga RM300.00. Tempahan boleh dilakukan menerusi WhatsApp di talian 017-565 4233

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya