Hani suntik nafas segar industri filem - Utusan Malaysia

Hani suntik nafas segar industri filem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK keterlaluan, filem Hani: Antara Realiti Dan Fantasi mampu memberi nafas segar buat industri filem negara.

Melihat teknologi imej janaan komputer (CGI) yang diguna pakai membuktikan produksi filem tempatan sudah bersedia ke tahap lebih tinggi.

Penerbit yang juga pengarah Hani, Fazli Yasin berkata, seluruh proses penggambaran terpaksa dilakukan di studio disebabkan pandemik. Ketika itu, sebarang penggambaran di luar tidak dibenarkan.

Kongsi Fazli, pelakon Hani juga terpaksa beraksi sendirian di hadapan layar pancaran visual sepanjang proses penggambaran.

“Ramai ingat filem ini dirakam menggunakan layar hijau, tetapi sebenarnya tidak. Kami menggunakan visual produksi yang lebih canggih dan menjimatkan masa. Ada cabarannya, tetapi ini percubaan pertama Lil Studios.

“Kami terlebih dahulu menghasilkan visual untuk latar belakang Hani sebelum memulakan penggambaran bersama pelakon. Boleh dikatakan hampir keseluruhan filem ini menggunakan teknologi CGI yang lebih maju,” katanya.

Hani yang memasuki pawagam sejak 15 Disember lalu mengisahkan pelukis komik manga di Jepun kembali ke Malaysia untuk bercuti. Fikiran Hani tidak tenang ketika tiba di Malaysia kerana teringatkan tugasan baru.

Dia harus menghasilkan komik berdasarkan patung yang mempunyai sejarah hitam dikenali sebagai Ishikoari. Patung ini telah diukir bagi mengurung Yokai yang bernama Orichi, legenda seram Jepun.

Dalam kajiannya, Hani mendapati gadis itu telah menjadi mangsa korban Yokai. Gadis yang terkorban telah menjadi saluran tenaga bagi membuka portal untuk membebaskan makhluk dari alam ghaib ke alam manusia.

Pelbagai insiden dilalui Hani sepanjang proses mengkaji Yokai. Dia juga terperangkap dalam dunia Yokai yang menyebabkan Hani mula keliru, adakah ia realiti atau fantasi.

RUANG UNTUK DIPERBAIKI

Walaupun Hani mampu dilihat antara filem berteknologi baharu yang mengagumkan, ada beberapa kekurangan yang harus diperbaiki produksi untuk penghasilan karya akan datang.

Selain skrip yang terlalu minimal, ekspresi wajah pelakon, terutama Shasha Abedul agak mengecewakan. Mungkin pengalaman lakonan masih belum cukup kuat untuk menjayakan watak yang sangat mencabar itu.

Namun, keberanian Shasha untuk menggalas tanggungjawab itu harus dipuji. Bukan mudah sebenarnya untuk berlakon seorang diri dengan hanya berpandukan visual dan skrip yang minimal.

“Susah sebenarnya untuk menjayakan watak Hani ini. Saya terima sebarang kritikan memandangkan ini adalah filem pertama saya,” jelas Shasha.

Watak Yokai yang digalas Nor Albaniah Raffie juga mempunyai kekuatan tersendiri. Dengan proses tatarias dan efek istimewa yang perlu dilalui, pujian harus diberikan kepada pelakon tersebut yang juga terpaksa bercakap dalam bahasa Jepun.

Secara keseluruhannya, biarpun ada komen negatif mempersoalkan teknik CGI yang digunakan, kita seharusnya berbangga apabila produksi tempatan mengorak langkah berani mencuba sesuatu yang baharu.

Pemilihan pelakon harus diambil kira semula, selain skrip juga perlu ditambah baik.

Sementara itu, Fazli berkata, LiL Studios turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Fakulti Industri Kreatif (FOCI), City University dengan kerjasama tiga pemain industri filem lain iaitu Horizon Film Entertainment, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Evo Pictures.

“Kami turut mempromosikan Hani supaya penonton dan pelajar dapat menyaksikan kerja di belakang tabir serta trailer filem tersebut. Kami teruja untuk memberi pendedahan kepada pelajar mendalami industri perfileman, terutama berkaitan teknologi terkini yang digunakan.

“Diharapkan perjanjian ini juga dapat memberi peluang, terutama kepada pelajar mendapatkan pendidikan terbaik dengan pengalaman industri terkini. Pendedahan sebegini boleh memberi nilai tambah dan meningkatkan kebolehpasaran pelajar apabila mereka tamat pengajian nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN