Rezeki terpijak Muaz Zabir   - Utusan Malaysia

Rezeki terpijak Muaz Zabir  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Siapa sangka tersingkir pada minggu kedua dalam program realiti Fit For Action TV3, Muaz Zabir akhirnya diserap semula ke minggu kelima sehingga akhirnya bergelar juara. 

Malah, lebih membanggakan apabila Ketua Juri, Datuk Yusof Haslam sendiri yang memilih untuk menyerap semula kemasukan jejaka tampan berusia 25 tahun ini menerusi kuasa imuniti. 

“Saya tak jangka langsung sebab sudah kemas barang balik kampung. Masa itu, pihak TV3 ada menghubungi saya dan memaklumkan akan diserap semula ke episod kelima. 

“Itu adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan sebab masa itu dah kemas dua beg, apatah lagi dua minggu saya berada di kedudukan tercorot,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Media Mulia Sdn. Bhd., baru-baru ini. 

Menurut Muaz atau nama sebenarnya Muaz Mohamad Zabir, pengalaman paling mencabar ketika mengikuti program itu adalah bercakap di depan kamera. 

Walaupun sebelum menyertai program realiti itu dia banyak menjadi pelakon tambahan, namun tiada sebarang lontaran dialog pernah dilakukan.  

“Bagi saya, semua tugasan berkaitan lakonan adalah mencabar. Rasa kekok sangat masa minggu pertama, namun saya mula merasakan ada peningkatan dari minggu ke minggu. 

“Kekok itu sebab tak pernah terdedah daripada kecil dan ketika bergandingan dengan pelakon wanita, hendak cari keserasian itu agak susah dan makan masa,” katanya. 

Graduan bidang pemasaran dari Kolej Profesional MARA, Seri Iskandar, Perak ini memberitahu selepas menamatkan pengajian dia bekerja sebagai jurulatih kecergasan di gimnasium. 

Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dia juga terkesan apabila mengalami masalah gaji. Sejak itu, katanya dia mula berjinak-jinak menjadi pelakon tambahan dalam tempoh sebulan. 

“Ada seorang jurusolek ini suruh saya hadir ujibakat Fit For Action. Asalnya, ingatkan ini adalah program untuk abang-abang sado bertubuh sasa. Balik kampung buka televisyen saya nampak iklan dan terus minta kebenaran mak. 

“Mak pun suruh saya cuba dan selepas dua minggu menjalani ujibakat, akhirnya saya diterima. Itulah permulaan bagaimana saya terdetik menyertai program ini,” kongsinya. 

Selepas menamatkan program realiti itu, jejaka yang berasal dari Linggi, Negeri Sembilan ini menerima tawaran berlakon bagi teledrama Rumah Bertangga Lumut sebagai pelakon pembantu. 

Rezekinya mula mencurah-curah selepas penerbit dan pengarah, Datuk A. Aida menawarkan dirinya watak sampingan dalam Melur Untuk Firdaus 2 yang bakal disiarkan di TV3. 

KENA BANYAK BELAJAR

Sepanjang menyertai program tersebut, banyak perkara yang Muaz pelajari termasuk cabaran yang perlu dihadapi selepas selangkah memilih terjun dalam bidang seni. 

Katanya, penerbit dan pengarah yang menjadi juri ibarat mentornya dan kesempatan itu juga digunakan berguru dengan mereka.

“Hendak atau tidak saya perlu hadap juga cabaran dan rintangan nanti. Memang ada rasa takut, tapi saya yakin berkat bimbingan mentor dalam program ini saya boleh melangkah kehadapan dan mereka juga sentiasa terbuka sekiranya saya ingin bertanya. 

“Satu nasihat yang saya pegang sampai sekarang iaitu buat baik dengan semua orang, maka semua orang akan baik dengan kita. 

“Mudahkan kerja orang, orang lain juga akan mudahkan kerja kita. Jaga adab, bahasa dan tingkah laku semuanya pasti akan dipermudahkan,” katanya.  

Dalam pada itu, Muaz merasakan dia mempunyai kelemahan untuk membawakan watak romantik kerana juri melabelkan dia mempunyai kekuatan bagi adegan gembira dan serius. 

“Selepas ini saya akan mengikuti kelas teater kerana banyak lagi perlu dipelajari serta membaiki kekurangan,” katanya.  

Ditebak mengenai persaingan dengan produk keluaran stesen penyiaran lain, kata Muaz, dia tetap yakin dan bersyukur berada di bawah naungan TV3 yang sudah tentu akan mengetengahkan produk sendiri. 

“Penonton tak kisah kita dari produk mana, baik TV3 atau Astro kerana yang penting lakonan berbekas dan sampai pada mereka. 

“Saya juga amat menitikberatkan penampilan dan personaliti serta menjadikan Beto Kusyairy dan Amerul Affendi sebagai idola dalam lakonan,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya