KUALA LUMPUR: Penyanyi, Naim Daniel mencuri tumpuan di media sosial apabila memuat naik gambar dirinya lengkap berbaju Melayu ketika membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bandar Rinching, Semenyih, dekat sini, hari ini.
Naim yang mengenakan baju Melayu putih lengkap bersamping bukan sahaja menerima pujian kerana penampilannya itu, malah usikan netizen yang menyifatkan pemakaiannya kelihatan seperti mahu bernikah.
“Pergi mengundi tak apa, jangan pergi nikah,” tulis seorang pengguna Instagram.
“Yang berhormat pergi mengundi ke akad nikah?” usik seorang lagi pengguna Instagram.
Gambar yang disunting 47 minit lalu itu telah menerima reaksi 21,467 daripada pengikutnya di platform media sosial tersebut.
Dalam foto berkenaan, Naim juga sempat menitipkan nasihat kepada pengikutnya agar melaksanakan tugas sebagai rakyat Malaysia dengan keluar mengundi.
“Pilihlah, walau berkali-kali. Pilihlah, walau pertama kali. Pilihlah hingga selamat sejahtera Malaysia di depan hari,” tulisnya.