[BAJET 2023]: Penggiat industri kreatif sambut baik usaha kerajaan - Norman KRU - Utusan Malaysia

[BAJET 2023]: Penggiat industri kreatif sambut baik usaha kerajaan – Norman KRU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengumuman Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan peruntukan RM177 juta untuk sektor kreatif, semalam membawa khabar gembira buat penggiat seni.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata, peruntukan RM50 juta untuk Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) bagi memacu industri kreatif tempatan adalah langkah terbaik dilakukan kerajaan.

“Semalam merupakan hari gembira buat penggiat seni atas usaha kerajaan memperuntukkan dana DEKAN RM50 juta.

“Insya-Allah, negara kita dapat memperbanyakkan lagi pembikinin karya, khususnya berkaitan sejarah negara, sekali gus menyemarakkan jati diri penonton,” katanya.

Pada masa sama, Norman turut memuji usaha kerajaan merangsang pembangunan program merakyatkan seni, budaya dan warisan pada peringkat akar umbi dengan peruntukan berjumlah RM25 juta.

“Dana disediakan untuk seni dan budaya merupakan penghargaan kepada karyawan tanah air dan penggiat seni bagi memperkayakan khazanah warisan tanah air.

“Berita ini juga pasti membawa khabar positif kepada industri kreatif dalam memperkayakan lagi warisan budaya negara, secara tidak langsung mengangkat nama Malaysia ke tahap global,” ujarnya.

Selain DEKAN, kerajaan juga menyediakan Dana Kandungan Digital berjumlah RM102 juta bagi memasarkan produk penggiat seni dan menggalakkan penghasilan lebih banyak karya kreatif dan malar segar.

Sebagai menyokong penggiat industri mencipta kandungan kreatif berkualiti tinggi, sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah FINAS akan diberi potongan cukai.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya