fbpx

Shuib batal hasrat ubah suai rumah selepas mimpikan arwah Sarah

PUCHONG : Pelawak dan usahawan selebriti, Shuib atau Shahmira Muhammad, 38, memberitahu pernah berhasrat mengubah suai kediaman yang diduduki bersama Allahyarham Siti Sarah Raissuddin ketika sedang mencuba untuk meneruskan kehidupan.

Bagaimanapun, kata Shuib, hasrat itu segera dilupakan selepas dia mendapat mimpi sedih seolah-olah memberi petanda bahawa arwah Sarah tidak bersetuju dengan keputusan itu.

“Selepas enam bulan arwah meninggal dunia, saya pernah terfikir hendak ubah suai rumah bagi memberi suasana baru. Saya juga sudah berbincang dengan pereka dalaman untuk tujuan itu.

“Bagaimanapun, saya batalkan hasrat tersebut selepas saya mendapat mimpi sedih, bulan lalu.

“Dalam mimpi itu, saya masuk ke rumah baharu dan tercari-cari arwah, tapi dia tiada. Ketika itulah saya sedar arwah sudah meninggal dunia,” katanya.

Shuib yang ditemui pada majlis bacaan tahlil sempena setahun pemergian arwah Sarah, malam tadi berkata, disebabkan mimpi itu, fikiran dan emosinya jadi terganggu.

Dia akhirnya mengambil keputusan untuk terus tinggal di rumah yang sudah mereka diami hampir empat tahun tanpa melakukan sebarang perubahan.

Menurut Shuib, dia juga masih menyimpan barang-barang peribadi milik arwah untuk dijadikan kenangan.

“Barang-barang arwah masih saya simpan. Kalau terkenang, bolehlah lihat dan pegang.

“Baju terakhir yang dipakai arwah sebelum ke hospital pun saya masih simpan. Itu jadi pengubat kerinduan terhadap arwah,”katanya.

Shuib dan Sarah mendirikan rumah tangga pada tahun 2011.

Sarah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi, 9 Ogos tahun lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat Covid-19.

Allahyarham menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungannya berusia lapan bulan pada 6 Ogos yang diberi nama Ayash Affan.

Selain Ayash, pasangan itu juga dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!