Bawa semangat Achik Spin dalam Mengusung Rindu versi orkestra - Utusan Malaysia

Bawa semangat Achik Spin dalam Mengusung Rindu versi orkestra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Tajul Ariff, 24, terharu apabila tiga rakan artis, Haqiem Rusli, Afieq Syazwan dan Zack Zakwan sudi merakamkan semula lagu Mengusung Rindu nyanyian asal Allahyarham abangnya, Achik Spin.

Menurut Tajul, lagu tersebut begitu popular sekitar penghujung era 90-an dan mempunyai peminat tersendiri.

Namun, untuk versi terbaharu lagu itu, suntikan empat vokal penyanyi dimasukkan bagi memberi kelainan, selain dimantapkan dengan elemen muzik orkestra.

“Tentu sekali saya rasa bangga apabila tiga lagi rakan saya sudi menyanyikan kembali lagu arwah abang. Terasa seolah-olah semangat Achik sentiasa ada bersama kami sewaktu pembikinan lagu ini.

“Terima kasih Haqiem, Afieq dan Zack kerana mewarnai lagu Mengusung Rindu dengan cara kalian tersendiri. Menerusi gabungan vokal empat penyanyi, saya rasa lagu ini mempunyai kekuatan tersendiri dan diharapkan peminat juga akan suka dengan versi ini,” katanya.

Sementara itu, Haqiem pula menganggap ia bagaikan peluang keemasan apabila dapat bergandingan dengan rakan artis lain menerusi projek lagu ini.

“Ini merupakan kali pertama saya merakamkan lagu cover seperti ini. Saya suka mencuba sesuatu yang baharu, eksperimentasi yang dilakukan dalam lagu ini juga membuatkan saya sangat teruja.

“Tambahan pula, projek ini melibatkan gabungan empat vokal penyanyi lelaki yang mempunyai karakter suara yang berbeza,”katanya.

Bagi Afieq pula, ia merupakan projek ketiga dia merakamkan semula lagu penyanyi lain setelah menarik pendengar baharu menerusi lagu popular seperti Layu Dihujung Mekar dan Malam Semakin Dingin.

“Saya rasa seperti menjayakan projek mega, terutama apabila susunan muzik lagu ini diberikan sentuhan orkestra, selain menggabungkan empat vokal.

“Projek ini merupakan usaha yang bukan biasa-biasa. Sebelum ini, saya pernah merakamkan lagu duet bersama Tajul.

“Tetapi, usaha terbaru ini turut melibatkan Haqiem dan Zack. Tentu sekali ia sangat luar biasa dan saya anggap sebagai rezeki,” katanya.

Mengusung Rindu mencatatkan jumlah tontonan tinggi yang pantas apabila dalam masa empat hari telah mencecah lebih 1 juta penonton.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak FMC Music, mereka telah menerima respons yang sangat menggalakkan daripada peminat untuk lagu versi 2022 ini.

Melihat kepada sambutan yang menggalakan itu, pihak FMC Music tidak menolak kemungkinan besar akan mengadakan satu mini konsert khas tidak lama lagi.

Mini konsert itu akan menampilkan semua barisan artis mereka sebagai menghargai sokongan peminat muzik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya