Artis bukan robot yang tiada perasaan – Farahdhiya - Utusan Malaysia

Artis bukan robot yang tiada perasaan – Farahdhiya

FARHDHIYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIKAP segelintir pengguna media sosial yang menjadikan medium itu sebagai ruang meluahkan emosi dan mempersendakan fizikal orang lain menggusarkan penyanyi serta pelakon, Farahdhiya.
Keberanian mereka, termasuk pengguna yang bersembunyi di sebalik identiti palsu untuk melontarkan komen ‘pedas’ tanpa memikirkan perasaan orang lain kata Farahdhiya, perlu dihentikan sebelum ia menjadi barah dalam masyarakat.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Bertakhta Di Hati ini berkata, dia memandang serius perkara terbabit dan menyifatkan tindakan mereka yang gemar mempersendakan fizikal orang lain sebagai perbuatan kurang ajar.
“Bagi saya, mereka yang suka body shaming ini adalah kurang ajar. Maaf cakap, mungkin bunyinya kasar tetapi saya sedih kerana kebanyakan yang berbuat demikian adalah orang Melayu.
“Mereka ini menganggap artis seperti robot yang tiada perasaan. Sedangkan kami sama sahaja seperti orang lain, manusia biasa yang datang dalam pelbagai bentuk.
“Saya sedar ada rakan artis yang terlalu geram sehingga bertindak menempelak semula warganet,” katanya.
Tambahnya, pengguna media sosial agak sukar untuk ditegur, malah jika berbuat demikian golongan selebriti juga yang akan mendapat tempiasnya semula.
“Apabila kita tegur, mereka kata kita jahat, tetapi mereka tidak sedar kejahatan yang mereka lakukan. Bagi saya, jika kita orang yang baik, kita akan mendoakan yang baik-baik sahaja.
“Jika terlihat kekurangan orang lain, kita pasti akan mendoakan kebaikan untuk mereka. Tetapi, kalau memang suka berkata-kata perkara yang tidak elok, pasti ada yang tidak kena dengan diri mereka,” ujarnya.
Farahdhiya juga berpendapat, budaya media sosial pada masa ini sudah tidak sihat disebabkan sikap pengguna yang gemar menuding jari dan mencari kekurangan orang lain.
“Budaya media sosial ini sudah terlalu ‘kotor’, tidak sihat. Mereka bercakap seperti dunia ini mereka yang punya. Setiap orang mempunyai kehidupan masing-masing.
“Mereka perlu hormat dan beri ruang untuk seseorang menjadi diri sendiri. Cerminlah diri kerana tiada manusia yang sempurna,” tuturnya panjang.

TERIMA HANTARAN LUCAH? AUTOMATIK SAYA SEKAT
Bagaikan tiada penghujung, pelakon ini juga menerima pesanan yang bukan-bukan daripada segelintir lelaki miang menerusi media sosial miliknya.
Dedah Farahdhiya, dia sebelum ini enggan memanjangkan perkara itu kerana memikirkan lelah untuk melalui pelbagai prosedur apabila membabitkan pihak berkuasa, memandangkan jadual hariannya yang agak sibuk.
“Sejak 10 tahun lalu, saya kerap mendapat mesej sebegini. Belum lagi lelaki mental yang mengirim gambar tidak senonoh mereka. Pernah juga terfikir untuk buat laporan polis.
“Tetapi, memandangkan jadual harian yang sibuk, tambahan pula perlu berdepan bermacam-macam prosedur, ia memenatkan saya,” katanya.
Seakan trauma dengan sikap segelintir lelaki miang yang tanpa segan silu menghantar gambar tidak senonoh, dia kini mengambil jalan selamat terus menyekat pengguna yang meragukan.
“Sekarang akaun palsu memang banyak sangat. Kebiasaannya, apabila nampak nama akaun yang pelik atau tiada gambar, saya terus sekat.
“Kenapa perlu membuat akaun palsu? Nampak sangat mereka mempunyai niat yang tidak baik. Daripada memeningkan kepala, baik saya sekat sahaja awal-awal,” kongsinya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN