Aishah lega lunas ‘hutang’ dengan peminat - Utusan Malaysia

Aishah lega lunas ‘hutang’ dengan peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi legenda, Datuk Aishah Ariffin, 57, meluahkan perasaan lega kerana akhirnya dapat melangsaikan ‘hutangnya’ dengan peminat menerusi penganjuran konsert Aishah & MPO : A Symphonic Rendezvous, malam tadi.

Menurut Aishah, secara peribadi, dia sudah terlalu lama menanti untuk beraksi di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP), apatah lagi setelah dua tahun perancangan konsert itu tertangguh.

“Sudah berapa lama menanti untuk berada di pentas ini. Ia bagaikan satu perjalanan yang cukup jauh. Selama 36 tahun saya menyanyi dan tunggu saat ini (buat konsert), akhirnya MPO hadir berikan tawaran.

“Untuk konsert ini, saya memang buat latihan bagai nak rak! Tapi, tiba-tiba pandemik berlaku pula.

“Sudahlah penyanyi ini bertaraf ‘vintage’ (lama), tambah dua tahun tempoh menunggu, bertambah ‘vintage’lah saya,”selorohnya.

Aishah berkata demikian ketika berinteraksi bersama peminat di konsert tersebut yang berlangsung selama dua jam setengah dan dihadiri seramai 920 penonton.

Selain itu, kata Aishah, dia juga bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik walaupun dua hari sebelum konsert berlangsung, dia terjatuh ketika sedang berjalan menuju hotel.

“Dua hari sebelum latihan, saya terjatuh ketika berjalan menuju ke hotel. Masa itu baru balik beli makanan bungkus untuk dibawa ke hotel.

“Tiba-tiba terjatuh. Mujurlah pakai topeng pelitup muka. Tak adalah orang cam sangat,”katanya.

Konsert yang melabuhkan tirai pada pukul 11 malam itu menyaksikan Aishah membawakan lebih 20 buah lagu dengan baik termasuk medley.

Antara seleksi lagu yang dipersembahkan ialah Tiada Duka, Kasih Kita, Kau yang Istimewa, Fatwa Pujangga, Bayangan, Kemaafan Dendam Yang Terindah, Kau Pergi Tanpa Pesan, Kau Sahabat, Kekasih dan Teman.

Aishah juga menghadiahkan peminat dan penonton dengan dua lagu berhantunya iaitu Camar Yang Pulang dan Janji Manismu pada penghujung konsert.

Persembahan Aishah diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia pimpinan konduktor, Ahmad Muriz Che Rose.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya