Malam luah perasaan Aina Abdul - Utusan Malaysia

Malam luah perasaan Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 2.0 berjaya memberi kepuasan kepada ribuan penonton.

Malam sentuhan majis oleh penyanyi, Aina Abdul yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, sudah semestinya meninggalkan memori terindah buat para peminat setianya.

Walaupun penyanyi lagu Sepi ini mendedahkan bukan mudah bagi menganjurkan malam bersejarah tersebut, namun hakikatnya dia sudah berjaya melakar sebuah pencapaian baharu dalam karier seninya.

Jika mahu diberi rating daripada skala 10, lebih dari itu sebenarnya saya berikan buat konsert yang boleh dikatakan gilang gemilang ini. Penat lelah yang dirasai Aina sebelum ini sememangnya amat berbaloi.

Malah, segala rasa kekecewaan, kesedihan, keperitan yang terpendam dan terpaksa dilaluinya sebelum ini dilepaskan penyanyi ini menerusi 26 buah lagu, pada malam tersebut.

“Saya sendiri tidak ingat berapa kali menangis setiap kali mengadaan perjumpaan bersama pasukan bagi konsert ini.

“Bagaimanapun pengurus saya sering ingatkan supaya mengurangkan masa dengan media sosial dalam tempoh seminggu sebelum konsert.

“Saya berasa amat lega apabila dapat melepaskan segala kekecewaan dalam semua lagu yang disampaikan pada konsert ini,” katanya.

Variasi segmen

Siapa tidak kenal Aina, sentiasa all out seiring persalinan dan nyanyiannya.

Selain berjaya ‘menggugurkan’ air mata penonton menerusi lagu-lagu yang meruntun kalbu, Aina turut memberikan 100 peratus tenaga menerusi lagu Maybe, Feeling Good, Shadow dan Fool.

Sejujurnya, walau ini konsert sulung berskala besar penyanyi ini namun persembahannya bagaikan dia sudah ‘biasa’ melakukan sebuah konsert besar begini.

Konsert itu bukan sahaja dihadiri peminat setia, malah turut dihadiri penyanyi dan pelakon popular tanah air seperti Ziana Zain, Anuar Zain dan ramai lagi.

Menampilkan pelbagai genre menerusi tiga segmen, setiap segmen sudah pastinya menampilkan keistimewaan yang tersendiri. Berbaloi dengan apa yang penonton berhabis.

Paling menarik, apabila penyanyi ini telah berjaya membuatkan penonton menitiskan air mata, dia terus pula dengan lagu-lagu hebat yang rancak.

Ya, dia seorang penyanyi berbakat besar. Berjaya menggunakan pentas tersohor Istana Budaya itu dengan sebaiknya, malah pandai menggunakan eye contact dengan khalayak.

Pada malam tersebut, Aina turut menyampaikan lagu-lagu medley terkenal seperti At Last, (You Make Me Feel Like) A Natural Woman dan Ain’t No Mountain High Enough.

Selain menyampaikan lagu-lagu popularnya seperti Semalam dan Sepi, Aina turut mendendangkan lagu popular lain iaitu My All, All By Myself, Mengapa, How You Like That serta Listen.

Baju rambut

Busana rona hitam diperbuat dari rambut yang terhasil menerusi perbincangan bersama penata gayanya, Abu Shaef Hamza itu antara yang mencuri perhatian.

Penyanyi muda itu menggayakan busana pertama yang mempunyai perincian rambut sebagai material utama hasil rekaan Melinda Looi.

“Kesemua baju yang saya mempunyai cerita tersendiri, salah satu daripanya diperbuat daripada 150 unit rambut sebenar yang direka khas oleh Melinda.

“Baju itu memang berat, namun selesa dipakai. Sejak awal lagi saya sudah berbincang untuk tampil dengan baju yang diperbuat daripada material yang jarang digunakan,” kongsinya.

Mengulas lanjut, baju rambut tersebut direalisasikan apabila dia mahukan satu persalinan yang tidak akan terfikir orang lain.

“Sebenarnya idea untuk menggunakan material rambut datang hasil perbincangan bersama Abu. Ketika itu, konsert ini belum lagi terjadi atau dibincangkan.

“Namun saya selalu beritahu Abu, saya mahukan gunakan material rare di mana orang tak kan terfikir. Jadi, Abu ada tunjuk satu foto.

“Saya pernah nampak gambar baju rambut. Tetapi, gambar yang Abu tunjuk itu saya tidak pernah lihat lagi dan ia membuatkan saya tertarik,” dedahnya.

Selain persalinan berkenaan, dua lagi busana turut digayakan Aina pada malam pertama konsert iaitu gaun kembang rona jingga rekaan Zaimi Zulkafli dan dress sarat tassel rekaan Rizman Ruzaini.
Baju ilham Kuntum pula dipakai penyanyi tersebut khas untuk sidang media dan sesi meet and greet bersama peminat.

Menutup coretan panjang ini, penyanyi lagu Terus Hidup menitipkan rasa syukur apabila malam konsertnya menjadi lebih baik dari apa yang telah dirancang, sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN