Berlakon bukannya sampai bila-bila kita berada di atas - Izreen Azminda - Utusan Malaysia

Berlakon bukannya sampai bila-bila kita berada di atas – Izreen Azminda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Turun naik dan cabaran tertentu sebagai anak seni menyebabkan pelakon, Izreen Azminda, 37, enggan lagi terlalu memfokus kepada dunia seni lakon meski mengaku masih ada tawaran yang datang padanya.

Bagaimanapun, memilih selesa untuk meneroka dan mengembangkan lagi perniagaan kosmetik dan penjagaan kulit di bawah jenama L’Oleaf Beauty bersama rakan niaganya, Izreen meletakkan kepercayaan pada rezeki dalam bidang ini.

“Fokus saya sekarang adalah pada dunia keusahawanan. Bagi saya, walaupun dah tak berlakon sangat sekarang, tapi saya gembira ada perniagaan sendiri. Mungkin rezeki berlakon tak serancak dulu, tapi Tuhan bagi rezeki lebih lagi dalam bidang perniagaan.

“Boleh dikatakan saya lebih buat duit dalam berniaga. Kalau berlakon, bukannya sampai bila-bila kita berada di atas. Semua orang akan ada fasa naik dan fasa jatuh. Bisnes pun ada juga naik turunnya, tapi ada hikmah lain pula yang Allah SWT itu berikan,”katanya.

Izreen berkata demikian semasa dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Selain itu, kata pelakon ini lagi, antara hikmah yang diraihnya sepanjang tidak lagi fokus kepada dunia lakonan adalah lebih waktu bersama anak-anak dan keluarga.

“Bila ceburi bidang bisnes ini, saya ada waktu untuk keluarga, dengan anak-anak. Kalau nak dibandingkan dengan berlakon dulu, tak ada! Malah, masa untuk diri sendiri pun susah nak dapat.

“Sekarang, Tuhan bagi nikmat lebih daripada apa yang saya dapat dulu. Sedih itu, sedihlah juga bila tak berlakon sangat dah. Malah pernah satu ketika, saya rasa macam tak yakin mampu untuk buat benda lain selain berlakon.

“Rindu pun ada. Tapi Allah bagi saya bermacam-macam nikmat lain bila fokus pada dunia perniagaan sekarang. Tak tahu macam mana nak gambarkan kebahagiaan itu,”katanya.

Tambah Izreen lagi, dia juga bersyukur memilih jalan ini kerana kehidupannya juga dirasakan lebih tersusun kini.

“Masa saya berlakon, banyak benda tak mampu nak bayar. Rumahlah, keretalah. Tapi bila dah berniaga sekarang, semuanya dah selesai. Saya pun rasa lega dan tenang sekarang. Banyak yang Allah bagi nikmat itu dan kuncinya adalah sabar.

“Dulu, kalau orang kata pasal sabar, saya umpama tak percaya. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Bila Allah bagi saya rasa nikmat kesabaran itu, serius, saya baru faham akan keajaibannya.

“Berganda Allah bagi. Tapi ingat, kuncinya kena sabar, usaha dan tawakal,”katanya.

Untuk info, Izreen mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Radzi Abdul Wahid atau lebih dikenali sebagai Ude pada 8 Ogos 2017.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Aaron Ibrahim dan Ali Idrees.

Izreen juga mempunyai seorang anak iaitu Adrian Umar, hasil perkahwinan terdahulunya dengan pengarah televisyen, Muhammad Riza Baharudin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.