Memang Zamani tak meminta, tapi tak akan saya nak diam diri? - Aznil Nawawi - Utusan Malaysia

Memang Zamani tak meminta, tapi tak akan saya nak diam diri? – Aznil Nawawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengacara dan selebriti terkenal tanah air, Datuk Aznil Nawawi, mengaku sukar untuk dia cuma berpeluk tubuh apabila mengetahui keadaan penyanyi, Zamani yang dikhabarkan mengalami masalah kesihatan kini.

Kata Aznil, hatinya mulai tersentuh apabila melihat sendiri keadaan Zamani yang berbeza ketika menjemputnya sebagai tetamu untuk sebuah program pada enam bulan lalu.

“Saya pernah jumpa Zamani masa dia datang ke program saya, enam bulan lalu. Melihat tayangan semula program itu, nampak banyak sangat perubahan Zamani. Jauh beza perubahan bentuk badannya.

“Saya tak naklah tanya lebih, tapi ada baca laporan mengenai sakit dia dan baru-baru ini ada tonton temu bual Zamani dengan wartawan sebuah portal.

“Memang dia tak nak meminta-minta atau mahu orang kumpul dana. Tapi tak akan saya nak berdiam diri tanpa buat apa-apa? Jadi saya bantu dia dengan buka akaun bank untuk kumpul dana.

“Saya tak beritahu Zamani sebab bimbang dia akan menolak. Bila saya dah berjaya kumpul RM60,000 dalam masa 24 jam, barulah saya beritahu dia,” katanya.

Tambah Aznil, dia juga terharu kerana dalam tempoh 24 jam sahaja, sejumlah RM60,000 berjaya dikumpulkan untuk tujuan membantu Zamani dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyalurkan sumbangan.

Terdahulu, Aznil bersyukur apabila niat untuk membantu membiayai kos pembedahan tulang belakang penyanyi Zamani Slam yang menderita penyakit tulang belakang atau skoliosis mendapat sambutan peminat.

Malah, pengacara terkenal itu turut memuat naik rakaman perbualannya dengan penyanyi lagu Gerimis Mengundang ini sebagai bukti.

Aznil berkata, dia memaklumkan perkara itu kepada pengurus Zamani kemudian penyanyi itu sendiri terus menghubunginya.

“Saya ada hubungi pengurus Zamani untuk maklumkan mengenai tabung itu. Selepas itu, Zamani pun hubungi saya dan mengucapkan terima kasih.

“Zamani kata dia pun tak tahu berapa lagi keseluruhan kos rawatan dan pembedahan yang perlu dilakukan. Mula-mula dia minta saya pegang dulu duit itu. Jadinya, saya pegang amanah dia,” ujarnya.

Apa yang mengejutkan lagi, apabila dana itu bertambah lagi RM40,000 menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM100,000 pada pagi semalam.

“Lepas itu, nak jadikan cerita, pada tengah malam kelmarin, saya sudah beritahu di laman sosial yang tabung dana itu dah ditutup.

“Tapi mengejutkan bila saya bangun subuh pagi semalam, ada lagi orang derma dan jumlah tambahan ada RM40,000. Jadi keseluruhan terkumpul dalam RM100,000.

“Saya ada mesej Zamani untuk maklumkan mengenai tambahan duit sumbangan itu. Tapi masih belum ada respon. Mungkin saya akan jumpa dia untuk bincangkan macam mana,” katanya.

Sementara itu, Aznil memberitahu dia tidak mahu Zamani berasa tertekan untuk melakukan pembedahan disebabkan sudah mempunyai dana daripada sumbangan orang ramai termasuk rakan selebriti seperti penerbit Datuk A. Aida.

“Saya tak nak Zamani berasa tertekan dengan duit tabung yang dikumpul itu. Tidak bermaksud, duit dah ada Zamani kena juga buat pembedahan.

“Terpulang kepada Zamani, sama ada gunakan duit itu untuk kos rawatan atau pembedahan. Sebab kita pun tak tahu keadaan Zamani sebenar macam mana.

“Tapi sekurang-kurangnya kalau Zamani perlu duit pembedahan dengan cepat, dah ada. Selain itu, boleh juga digunakan untuk kelangsungan hidupnya,” kata Aznil.

Sekadar info, Aznil juga pernah membuka tabung mengumpul dana untuk mangsa banjir di Bukit Changgang, keluarga terkesan akibat pandemik Covid-19 dan anak-anak tahfiz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya