fbpx

30 Jun 2022, 9:35 am

  TERKINI

Malulah kalau orang tengok isteri dia tak fit beraksi – Hanis Zalikha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Membuat kemunculan pertama kali selepas tujuh tahun tidak aktif berlakon, Hanis Zalikha, 32, mengaku dia sendiri tidak menjangka akhirnya terbuka hati menerima tawaran berlakon setelah dipelawa oleh pengarah filem The Assistant, Adrian Teh.

Menurut Hanis, ini kerana sejak berkahwin, dia lebih senang untuk memfokus kepada tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu selain sibuk menguruskan empayar perniagaannya.

“Saya sendiri pun terkejut dengan diri sebab boleh terima tawaran Adrian.Tapi Adrian memang sangat menyakinkan. Dia beritahu sebab dan apa impak watak saya dalam filem ini sebab dia pun tahu daripada awal, memang saya tak nak buat.

“Hairul pun tahu susah untuk saya terima tawaran berlakon sejak berkahwin. Tapi sebab kali ini saya tengok naskhah The Assistant sangat berbeza dan menarik, rasa sayang juga kalau tak nak terima.

“Lagipun saya nak sokong Hairul untuk filem ini sebab saya tahu, kalau terima tawaran ini, dialah orang yang paling gembira,”katanya.

Hanis berkata demikian semasa ditemui di majlis tayangan perdana filem The Assistant di The Starling, kelmarin.

Selain itu, kata Hanis, setelah melakonkan watak aksi bernama Yasmin dalam filem ini, barulah dia memahami mengapa Hairul begitu komited dan disiplin dalam melakukan latihan demi latihan untuk sesebuah watak aksi sebagaimana sebelum ini.

“Kemunculan saya dalam filem ini walaupun tidak banyak, tetapi ia bukan senang. Barulah saya faham betul-betul kerja Hairul dan kenapa dia sampai tiga bulan buat latihan. Sebab, nak buat sesuatu babak itu pun, i rasa susah gila nak buat sebab nak kena ‘fit’.

“Saya pula dah lama tak berlakon, jadi memang kena betul-betul buat latihan. Iyalah, malulah kalau orang tengok Hairul dah buat bersungguh-sungguh, tapi isteri dia, alahai…macam itu saja.

“Bila di set penggambaran pula, keadaan tak sama macam semasa buat latihan. Adrian pula tiba-tiba dapat idea lain, jadi, berlaku 360 darjah perubahan di set. Saya pula jenis menghafal, jadi disitu ada cabarannya,”katanya.

Dalam pada itu, kata Hanis, dia tidak meminta Hairul  untuk membantu atau mengajarnya melakukan aksi mempertahankan diri kerana berasa sukar dan kekok andai suami sendiri yang memberi tunjuk ajar.

“Kalau suami atau isteri yang mengajar untuk buat sesuatu kerja itu, memang tak akan sama. Dia akan jadi kekok, mungkin juga kita akan jadi manja dan malu-malu. Jadi saya belajar sendiri dengan guru lain.

“Tentang menerima watak ini untuk filem sekuel pula, itu nanti dulu,”katanya.

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI