Tahun ini ‘Barkoba’ puasa di Mekah tau - Bell Ngasri - Utusan Malaysia

Tahun ini ‘Barkoba’ puasa di Mekah tau – Bell Ngasri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sering menjadi bahan usikan peminat dan pengikut setia watak Barkoba dalam telefilem 16 Puasa dan 17 Puasa, pelakon, Bell Ngasri, 42, berharap semua pihak dapat mendoakan yang terbaik buatnya sementelah tahun ini menyaksikan Ramadan pertamanya berpuasa di Tanah Suci Mekah.

Bakal berangkat ke Mekah pada 20 April ini, Bell, tahu sehingga kini ada yang mengusiknya dengan watak ‘ikon geng plastik hitam’ itu yang menyaksikan setiap Ramadan pasti nama watak lakonannya itu akan disebut-sebut.

“Merisaukan saya juga ini. Iyalah, setiap tahun orang asyik sebut pasal watak lakonan saya itu. Maklumlah, watak orang tak puasa. Tapi harapnya, bila orang tahu saya nak pergi buat umrah ini tak adalah lagi dikaitkan bukan?

“Saya nak buktikan yang saya ini berpuasa. Lagi seronok, puasa di Mekah lagi tau! Jangan main-main, di Mekah tak boleh tak berpuasa ya, nak kena sebat? Jangan buat perangai,”selorohnya.

Selain itu, Bell juga melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang oleh syarikat Syabibah Travel & Tours yang menyaksikan kebetulan dia dapat beribadah pada 10 malam terakhir di bulan Ramadan.

“Sebenarnya, ini adalah kali kedua saya ke Tanah Suci, kali pertama ialah pada tahun 2008. Tapi ini adalah kali pertama saya berpeluang berpuasa di sana dan saya jangkakan ia adalah satu pengalaman yang baru dan menarik buat diri sendiri.

“Sudah lama saya tanah hasrat nak pergi Mekah lagi, masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi. Siapa sangka, pertemuan dengan Faizal Ismail dalam sebuah program sebelum ini, membuka jalan untuk hajat ini dan Faizal pun banyak membantu.

“Menitik juga air mata saya, tak sangka Allah SWT makbulkan hajat ini. Alhamdulillah, saya juga harap semua pihak dapat mendoakan kesejahteraan, keselamatan dan kelancaran ibadah saya di sana nanti,”katanya.

Selain itu, ditanya mengenai perkhabaran kemungkinan bakal adanya telefilem 19 Puasa yang sinonim dengan watak Barkoba tersebut, kata Bell, dia tidak dapat meletakkan kepastian.

Bagaimanapun, katanya, jika mengikut kata arwah Mamat Khalid semasa hayatnya, telefilem tersebut akan dihasilkan sehingga judul 20 Puasa.

“Sepatutnya, ada 19 Puasa, mengikut kata arwah semasa dia masih ada. Sebenarnya, bukan itu sahaja, arwah ada banyak lagi karyanya yang belum dihasilkan. Sejak dia sakit dan kemudian sihat sikit, dia pernah beritahu kami yang dia mimpi buat sampai 20 Puasa.

“Padahal masa itu, kami semua baru jalani penggambaran 16 Puasa. Tapi yang sempat dihasilkan ialah sehingga 18 Puasa. Mungkin 19 Puasa dan seterusnya akan ada menerusi garapan anaknya, Amin. Cuma itu belum dipastikan lagi,”katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada dia juga merindui arwah Mamat,Bell tidak menafikan perasaan itu namun meletakkan harapan dan kepercayaan yang tinggi pada kebolehan anak arwah dalam meneruskan legasi perfileman Mamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya