PETALING JAYA: Pelakon, Elisya Sandha, tampil berkongsi berita gembira bahawa dirinya kini sedang hamil tujuh bulan.
Menerusi entri Instagram, pelakon drama Hello Jangan Tapau Cintaku itu ada memuat naik satu video yang memperlihat membuat kejutan tentang kehamilannya kepada seluruh ahli keluarga termasuk suami tercintanya.
Video berdurasi kurang seminit itu juga memaparkan kesemua ahli keluarga dan suami menangis kegembiraan selepas mengetahui bakal menerima ahli keluarga baharu.
Menjengah di ruangan kapsyen pula, Elisya menitipkan rasa kesyukuran dengan kurniaan rezeki Ilahi buat dirinya selain memohon orang ramai agar mendoakan yang baik-baik buat cahaya mata sulung yang bakal dilahirkan itu.
“Aku bersyukur atas rezeki yang Kau kurniakan kepada aku. Videa ini amat bermakna buat saya, detik-detik terindah yang tidak dapat saya perolehi di mana-mana.
“Kepada sesiapa yang sedang melihat dan membaca kapsyen saya ini, minta luangkan sedikit masa dan doakan anak sulung saya ini.
“Selain itu, saya juga mendoakan semua wanita dapat pengalaman perkara yang sama, Alhamdulillah,” katanya di Instagram.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, rata-rata peminat dan rakan artis menitipkan doa buat pelakon itu agar dipermudahkan segala urusan melahirkan bayi tersebut.
Sekadar informasi, Elisya dan Uzair Haqimy yang juga merupakan anak kepada pelakon Sheila Rusly, mendirikan rumah tangga pada tanggal 21 Ogos tahun lalu.