Poklip pernah menulis tentang ini. Ketika itu ada beberapa rakan media mendakwa Wany Hasrita sudah ‘naik tocang’. Dia semakin sukar didekati dan ditemuramah. Dalam bahasa kasar, kekwat!
Tetapi Poklip ketika itu baru sahaja menghubungi penyanyi muda itu. Senang sahaja. Tidak ada pula nada sombong berlagak daripada Wany. Cuma Poklip tidak faham, macam mana boleh timbul isu sombong itu.
Tetapi baru-baru ini, timbul lagi dakwaan lebih kurang sama tentang Wany. Ada yang mengadu Wany ‘sukar dicari’. Kalau di Whatsapp, tidak dibalas. Kalau ditelefon, tidak diangkat. Eh, bunyi macam lagu… lupakan!
Dakwa si polan itu, dia ada cuba menghubungi Wany untuk mendapatkan komen tentang satu isu ketika itu. Bukan kontroversi atau isu sensasi pun. Tetapi sukar sekali untuk menghubungi penyanyi Menahan Rindu itu.
Malah, si polan itu ada cuba menghubungi pembantu peribadinya namun, tetap tiada jawapan. Puaslah si polan itu menghantar mesej di Whatsapp dan menelefon mereka, tetapi hampa. Keduanya tidak menjawab.
Poklip kalau bab Wany ini, macam ada satu soft spot tau. Sebab mengenali Wany, dia memang seorang yang cukup menghormati orang tidak kira sesiapa pun. Sama ada wartawan, peguam atau makcik tukang sapu sampah sekalipun.
Cuma sudah beberapa kali mendengar luahan sama, Poklip jadi serba salah. Tetapi Poklip menjawab, mungkin sahaja masa tidak kena. Dia sedang sibuk merakam lagu baru atau urusan kerjanya.
Bukan apa, kita tahulah jadual artis. Lebih lebih lagi yang popular macam Wany. Memang berderet susunan kerja. Kalau kita tengok pun, tak larat tau! Macam mana dia boleh kendali semua itu.
Mungkin ada silap Wany atau mungkin masa tidak mengizinkan. Cuma di kala nama sedang memuncak, tidak molek jika dakwaan sebegini tular. Berbaik-baiklah. Kita kerja satu industri, esok lusa bersua jua.