Tidak sangka, figura manis jelita ini sudah 11 tahun memahat namanya dalam industri hiburan tanah air.
Wani Kayrie, bermula dengan program realiti kanak-kanak, Kamilah Bintang pada tahun 2010, kini bukan sekadar menyanyi, namun bakatnya dalam seni ini memang serba macam.
Cakaplah apa yang tidak pernah dicubanya selama bergelar anak seni. Berlakon, menyanyi, serta mengacara? Semua sudah dilunasnya.
Masih tidak menempatkan dirinya di zon selesa, namun banyak lagi perkara yang harus dipelajari untuk membuktikan dia bukan sahaja seorang penyanyi, bahkan seorang penghibur juga.
“Bapa yang mencungkil bakat saya dari kecil. Dia ingin tahu anaknya sebenarnya boleh melakukan apa. Jadi dia yang beranikan saya untuk masuk pertandingan menyanyi dan menari.
“Dari situ, dia boleh nampak bakat saya. Oleh kerana itu, saya berlatih sampai sekarang bukan sahaja sebagai seorang penyanyi malah seorang penghibur juga,” kongsinya.
Walaupun sedia maklum penyanyi lagu Aksara Cinta ini serba boleh dalam bidang seni, namun jiwanya tetap dengan nyanyian. Ia sudah seakan sebati dengan kehidupannya.
“Antara mengacara, berlakon dan menyanyi, ‘passion’ saya adalah lebih ke arah bidang nyanyian.
“Hal ini kerana, sejak berumur dua tahun, saya akan menyanyi jika ke kenduri kahwin. Saya suka menghiburkan orang dengan nyanyian,” dedahnya.
Tampil dengan single terbaharu berjudul Jangan Terlepas Pandang, Wani memberitahu lagu berkenaan mengenai kisah kehidupan sepanjang karier seninya.
Meletakkan harapan, bintang ini ingin ‘teguhkan’ lagi identiti dirinya sebagai penyanyi menerusi lagu tersebut.
“Lagu ini berkenaan dengan kisah kehidupan Wani sendiri, perjalanan seni saya. Sepanjang 11 tahun saya dalam industri ini, bukan mudah untuk saya mencipta nama kerana ramai artis yang baharu.
“Oleh kerana itu, saya lihat orang di luar sana nak mengenali Wani Kayrie dengan identiti tertentu itu masih belum kukuh.
“Jadi disebabkan itu saya mengeluarkan lagu ini untuk menunjukkan bahawa sebenarnya diri Wani ada dalam industri. Cuma, orang kata mungkin nasib dan sebuah lagu yang diberikan itu memainkan peranan,” dedahnya.
Bukan niat mahu menunjuk
Jika yang sudah tahu, sebelum ini Wani ada memuat naik keputusan peperiksaannya di Instagram.
Dengan menerima keputusan yang cemerlang, penyanyi itu ‘dicop’ pula sebagai ‘show off’ atau orang selalu cakap, menunjuk-nunjuk.
Tidak mengambil pusing akan kata netizen, dia yang kini pelajar tahun dua di Management And Science University (MSU), Shah Alam, berkata bahawa niatnya berkongsi keputusan tersebut bukanlah untuk menunjuk, namun ia sebagai inspirasi buat mereka di luar sana.
Tambahnya juga, dia ingin memberi semangat dan inspirasi walau sibuk mana pun kita, namun pelajaran juga harus diutamakan.
“Walaupun sibuk menyanyi, berlakon serta mengacara jika kita pandai menguruskan masa dan kerja, kita juga boleh berjaya dalam apa sahaja bidang yang diceburi.
“Selain itu, saya menunjukkan itu hanya sekadar memberi semangat buat mereka yang rasa untuk bekerja sambil belajar itu adalah sukar,” katanya ketika ditemu ramah.
Ujarnya lagi, jika benarlah mahu ‘menunjuk’ dengan kejayaannya itu, lebih baik dia memuat naik keputusan peperiksaan yang lebih cemerlang.
Bagaimanapun, dia menitipkan rasa syukur dengan keputusan peperiksaannya itu walaupun tidak memperoleh 4 flat.
“Untuk niat nak ‘show off’ itu sebenarnya, kalau lah mahu membuat sedemikian, baik saya menunjuk keputusan yang lebih baik.
“Walaupun tidak empat rata, namun ia menjadi satu kepuasan buat saya,” kongsinya.
Percaya akan proses
Susun strategi baik-baik, percaya kepada proses – Itulah satu pegangan buat penyanyi lagu popular Jangan Jangan ini untuk nama kekal relevan dalam industri ini.
Wani tidak menafikan, pendatang baharu dalam industri hiburan tanah air waktu ini adalah satu cabaran dan saingan untuk mengekalkan nama sebagai seorang penyanyi.
Bagaimanapun, bintang ini menyifatkan untuk berjaya dalam apa sahaja bidang, ia memerlukan masa. Pentingnya, selalu percaya akan proses berkenaan.
“Memang akan datang pesaing dalam industri, ramai. Lagi-lagi artis baharu yang mencipta nama dengan sangat mudah dan lagu mereka naik dengan sangat cepat.
“Jadi itu merupakan saingan dan cabaran untuk saya sendiri mengekalkan nama dan masih relevan dalam industri.
“Namun, kita harus percaya kepada takdir Tuhan. Kerana saya tahu nak berjaya itu tidak perlukan masa yang sangat cepat,” tuturnya.
Dedah Wani, para peminat juga adalah amat penting yang secara tidak langsung menjadi tulang belakang dalam menaikkan seseorang artis.
“Apa yang penting kata susun strategi baik-baik dan tahu identiti diri kita. kalau berjaya mencari khalayak sendiri, mereka akan yang menjadi penyokong utama.
“Bukan hanya popular pada masa itu sahaja. apa yang paling penting, untuk kekal relevan pada masa yang lama,” katanya lagi.