Namron dan sarkastiknya! - Utusan Malaysia

Namron dan sarkastiknya!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terkejut Poklip apabila melihat pelakon dan pengarah berbakat besar, Namron memuat naik gambar tanpa baju. Ingatkan salah sebuah adegan dalam karya baharunya, tetapi rupa-rupanya dia secara halus ‘menegur’ pemain industri kita.

Modus operandinya mudah. Muat naik gambar seksi dan dalam masa beberapa jam, pengikut akan bertambah. Itu yang cuba dilakukan Namron. Sebab apa? Kerana dia mahu kerja. Bekerja dalam industri yang segelintir pemainnya melihat kepada angka pengikut di media sosial.

Sebenarnya, Namron bukan sekadar menjentik tetapi menampar segelintir penggiat industri yang memandang populariti dan jumlah pengikut media sosial sebagai syarat wajib untuk diambil berlakon. Tak cukup sejuta jangan harap dapat jadi hero.

Lantas bakat-bakat besar seperti Namron, Ameerul Afendi, Nadia Aqilah dan ramai lagi dinafikan. Tunggu ada projek atau karya ‘luar kotak’ baru nampak wajah mereka. Nak tengok mereka di slot-slot drama popular? Lambat lagi dik!

Bukan Poklip mahu menafikan bakat pelakon ‘papan atas’ atau popular, tetapi kadang-kadang kita terlepas pandang mereka yang menjual bakat dan kemampuan. Malah, bukan juga niat Poklip mahu menafikan rezeki bakat baharu. Tidak sama sekali.

Cuma adakala kita harus melihat, adakah mereka sudah cukup matang untuk membawakan sesebuah watak? Adakah kita sedia untuk dikritik janji popular, kayu pun kayulah. Takkan isu sama harus diulang siar kan? Penat juga sebab tiada perubahan.

Ada juga bakat baharu yang mempunyai potensi besar cuma mungkin belum digilap. Mereka perlu masa. Ya tahu itu, tidak semuanya terus pandai berlakon. Tetapi tak boleh cakap lebih, banyak drama kita acuannya sama. Jalan cerita juga tak jauh beza.

Poklip tak mahu komen lebih apatah lagi membandingkan kualiti drama kita dengan luar. Nanti ada yang panas punggung. Tetapi cuba ambil kritikan ini dengan positif. Warganet pun kalau mahu menegur jangan terus menghentam.

KIta harus bersama membangunkan industri seni. Jangan ada yang kaki auta. Tahu pung pang sana sini tetapi habuk tidak ada. Kita tidak boleh lagi berpegang kepada kejayaan dahulu. Pandang depan, lihat apa ada di luar sana. Sudah-sudahlah dengan perangai, dulu filem aku meletop. Dulu ya!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN